IPOH -  Akibat tidak berpuas hati kerana diarah berpindah ke unit lain, seorang lelaki bertindak menetak Pengarah Hospital Taiping sehingga parah menggunakan sebilah parang sepanjang dua kaki hari ini.
   
Dalam kejadian pada 11.20 pagi di hospital berkenaan, Dr Mohd Yassim Abdul Rahman cedera di badan, kepala dan tangan selepas cuba menahan asakan serta tetakan oleh seorang petugas di Jabatan Pengimejan dan Diagnostik hospital itu yang berusia 53 tahun.
   
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping DSP Leong Wen Yew berkata, kejadian berlaku ketika pengarah itu pergi ke pejabat suspek untuk menemuinya dan mereka dipercayai bergaduh kerana suspek diarah berpindah ke unit lain dan diminta mengosongkan pejabat unit sedia ada.
   
Akibat tidak berpuas hati, suspek beredar dari situ dan kemudian datang semula membawa sebilah parang sebelum menetak mangsa di ruang legar berhampiran Unit CT Scan hospital berkenaan, katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.
   
Beliau berkata pengarah itu yang dipindahkan ke Hospital Selayang, Selangor untuk rawatan lanjut pada pukul 1 tengah hari turut mengalami patah tulang lengan.

Keadaannya dilaporkan stabil. Wen Yew berkata, polis percaya parang itu telahpun disediakan lebih awal kerana difahamkan ketegangan antara mereka terjadi sebelum berlaku insiden hari ini.
   
Suspek melarikan diri sebaik sahaja kejadian itu berlaku dan sehingga kini belum dapat dikesan walaupun polis menjejaki suspek di rumahnya, katanya.
   
"Kami meminta suspek menyerahkan diri kepada polis. Kami percaya suspek tidak pergi jauh," katanya.
   
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata atau benda berbahaya lain yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda atau sebatan. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis berhampiran Balai Polis Pinggiran USJ dekat sini, lokasi seorang anggota polis yang ditetak dan ditembak ketika sedang bertugas Khamis lepas.
  • KUALA KRAI - Lelaki yang dikatakan ditetak isterinya di Manek Urai Lama, Khamis lalu telah berbaik dengan isterinya.
  • SHAH ALAM - Suspek kes pembunuhan dua pengawal keselamatan di Jalan Bukit Kuda, Klang, dekat sini, Khamis lalu berjaya ditahan awal pagi tadi di Teluk Intan, Perak.
  • KUALA LUMPUR - Lelaki warga Indonesia ditemui mati dengan kesan tetakan dalam kejadian di sebuah tapak pembinaan di Wangsa Maju, dekat sini, malam tadi.
  • BESUT - Seorang lelaki maut ditetak sekumpulan remaja dan lebih memilukan apabila kejadian itu disaksikan abang mangsa sendiri dipercayai akibat salah faham, di Kampung Pengkalan Nyireh di sini semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.