TANGKAK - [Dikemaskini] Seorang lelaki mati lemas selepas menyelamatkan adiknya yang tergelincir di kawasan air terjun Asahan, bersempadan dengan Melaka dan Johor, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mangsa, Mohd Khidil Ismeath Anuar, 25, menghabiskan cuti hujung minggu berkelah di kawasan berkenaan bersama isteri, Shakilah Zakaria, 26, dan adik bongsunya, Mohd Aliff Najmi Anuar, 13.

Mangsa merupakan seorang kakitangan kerajaan dan baru bernikah dengan isterinya, hampir sebulan lalu.

Mohd Aliff berkata, kemalangan berlaku apabila abangnya yang dipanggil abang lang, mahu menyelamatkan dirinya daripada lemas.

Pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Sri Pantai, di sini itu berkata, dia pada mulanya mandi di bahagian atas, namun ketika terpijak salah satu batu, dia tergelincir masuk ke pusaran air, sebelum menjerit meminta tolong.

Menurutnya, dia dapat merasakan kawasan itu begitu dalam dan ketika itu jaraknya dengan Mohd Khidil, kira-kira 3 meter.

“Saya tergelincir dan menjerit panggil abang lang, abang lang... sebelum abang lang datang menolak saya ke tepi. Kemudian saya tak nampak abang lang lagi.

“Dalam keadaan tercungap-cungap saya mendengar kakak ipar saya (Shakilah) menjerit memanggil 'abang! abang!' Saya pandang semula ke tempat itu tapi tak nampak abang lang," katanya.

Menurutnya, sebelum abangnya dibawa arus, Shakilah nampak mangsa terkapai-kapai di dalam air, lalu tenggelam dan hilang.

Mayat mangsa bagaimanapun ditemui kira-kira dua jam selepas itu oleh pasukan Bomba dan Penyelamat.

“Saya sedih sebab saya yang mula lemas tapi abang yang menyelamatkan saya pula lemas,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tangkak, dekat sini, semalam.

Mohd Aliff berkata, mangsa, anak ketiga daripada lima beradik itu, tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum ini.

"Tapi Allahyarham begitu beria-ia mengajak kami sekeluarga berkelah di situ. Cuma, saya dan isterinya saja yang ikut hari ini (semalam)," katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga baru tiba dari Kuala Lumpur ke Kampung Bekoh, dekat sini, petang kelmarin dan ini pertama kali dia dan Allahyarham menjejak kaki ke kawasan tersebut.

Baru dua minggu pulang berbulan madu

Sementara itu, abang kedua mangsa, Muhammad Hatta Anuar, 27, berkata, Allahyarham merupakan seorang penyayang.

"Allahyarham dan isterinya baru pulang dari berbulan madu di Korea, dua minggu lalu," katanya.

Menurutnya, sebelum ini mereka kerap bertemu di rumah keluarga di Kuarters Polis Pantai, bagaimanapun jarang berjumpa selepas adiknya berpindah ke rumah mertua di Sungai Buloh selepas mendirikan rumahtangga pada 1 September lalu.

“Dah ajal dia, dia pergi hari ini dan kami sekeluarga reda. Namun, lebih menyedihkan ketika ini, ibu bapa mertua Allahyarham tidak dapat melihat jenazah buat kali terakhir kerana berada di Makkah mengerjakan haji," katanya.

Sementara itu, Shakilah enggan ditemui pemberita kerana masih bersedih.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bekoh, Tangkak, selepas solat Asar, semalam.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jasin, Johari Masom berkata, seramai enam anggota membabitkan tiga jentera dari Balai Bomba Jasin, Balai Bomba Jasin Bestari serta unit Skuba Jalan Kubu Baru dikejarkan ke tempat kejadian untuk usaha mencari dan menyelamat.

"Operasi menyelamat sukar kerana kedalaman kawasan air terjun lebih lima meter menyebabkan kita terpaksa meminta bantuan unit skuba,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemui dan dibawa naik kira-kira 12.20 tengah hari tidak jauh dari tempat mangsa menyelamatkan adiknya.

“Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dan tiada kesan luka pada badan mangsa. Anggota bomba mengambil masa kira-kira tujuh minit membawa naik ke darat dan mayatnya dihantar ke Hospital Tangkak sebelum dituntut waris,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR SETAR - Seorang tukang cat ditemui lemas dalam tali air di Kampung Kubang Siam dekat Alor Janggus, di sini, pagi tadi.
  • KUALA KRAI - Seorang murid Sekolah Menengah Kebangsaan Manek Urai hanya sempat bersekolah dua hari sebelum ditemui lemas di sungai berhampiran rumahnya di Kampung Gajah,Manek Urai, hari ini.
  • SEREMBAN - “Saya tidak sempat untuk beli pakaian persekolahan tambahan untuknya. Ingatkan nak tunggu dia balik ke rumah baru pergi beli (pakaian tambahan sekolah) tetapi tidak sangka dikejutkan dengan khabar yang menyedihkan ini," kata Rosli Mihat 49, bapa kepada salah seorang mangsa lemas di Sungai Pedas di Kampung Merbau 9, Muhamad Syafiq Rosli, 15.
  • REMBAU - Pasukan penyelamat kini sedang menjalankan operasi mencari tiga sekawan lelaki berusia 12 hingga 15 tahun yang dipercayai lemas di Sungai Pedas di Kampung Sungai Merbau 9, di sini, lewat petang tadi.
  • KUALA ROMPIN - Dua ​lelaki berjaya diselamatkan selepas nyaris lemas akibat ditarik ombak ketika mandi di Pantai Hiburan berhampiran Rompin Beach Resort (RBR), petang, semalam.