KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) merancang untuk melapor tindakan nelayan Vietnam menceroboh perairan negara kepada masyarakat antarabangsa, kata Ketua Pengarah Maritim, Laksamana Maritim Datuk Zulkifli Abu Bakar.

"Ini dibuat dengan harapan negara terbabit mengambil sendiri tindakan menghenti atau menghalang nelayan mereka daripada menceroboh kawasan negara orang," kata beliau kepada pemberita.

Beliau melawat operasi kapal KM Pekan di perairan Tanjung Sedili sempena majlis berbuka puasa Maritim bersama pelbagai agensi penguatkuasaan di sini hari ini.

Beliau berkata, usaha itu sejajar dengan undang-undang yang diperuntukkan bagi mencegah aktiviti perikananan haram dalam kalangan nelayan asing.

"Terdapat banyak aduan daripada nelayan-nelayan tempatan mengenai pencerobohan ini. Justeru itu kita akan mengambil pendekatan lebih serius dan pada masa sama mempertingkatkan rondaan ketika musim perayaan bagi memastikan tiada pencerobohan berlaku," katanya.

Zulkifli berkata, Maritim menahan tiga bot nelayan Vietnam di perairan Johor semalam kerana dipercayai menangkap ikan tanpa permit.

"Dua daripada bot itu ditahan oleh kapal KM Pekan di kedudukan 17 batu nautika timur laut Pulau Aur, Mersing manakala sebuah lagi ditahan oleh kapal KM Tegas di kedudukan 24 batu nautika timur laut Tanjung Sedili (Kota Tinggi)," katanya.

Seramai 31 awak-awak termasuk tekong berusia antara 18 dan 41 tahun ditahan serta 1,400 kilogram ikan pelbagai jenis turut dirampas.

Mengulas persediaan APMM dalam membanteras kegiatan jenayah lain sewaktu Aidilfitri, Zulkifli berkata pihaknya sedang memperhebatkan penguatkuasaan dan rondaan Ops Pagar di kesemua perairan negara.

Katanya ini berikutan terdapat kemungkinan kes seperti penyeludupan dan pergerakan keluar masuk pendatang tanpa izin (PATI) warga Indonesia akan bertambah pada musim tersebut memandangkan kebanyakannya mahu  pulang ke kampung halaman mereka.

"Pada Ramadan ini, kita percaya warga asing menggunakan pelbagai inisiatif termasuk menggunakan bot nelayan asing dan bot tukar barang untuk keluar daripada negara.

"Modus operandi mereka (sindiket berkenaan) pula dipercayai berpangkalan di Hutan Melintang, Perak dan diuruskan oleh ejen yang mengaut keuntungan dengan mengatur perjalanan pulang warga Indonesia ke kampung halaman mereka," katanya.

Zulkifli berkata berdasarkan maklumat risikan, kebanyakan warga Indonesia yang mendapatkan khidmat ejen itu bekerja di seluruh negara termasuk Kelantan, Selangor, Perlis dan Negeri Sembilan. - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menyerahkan kembali tiga buah bot nelayan Indonesia yang ditahan kerana menceroboh perairan negara pada 16 Oktober lepas.
  • ALOR GAJAH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mematahkan cubaan menyeludup kira-kira 300 ekor burung daripada spesies terancam pada kedudukan 4.97 batu nautika di perairan Tanjung Gabang, Selangor, petang semalam.
  • LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 3 menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama dua nelayan warga Myanmar di 4.4 batu nautika barat daya Pulau Talang, di sini, petang semalam.
  • JOHOR BAHRU - Pertukaran nelayan Malaysia yang kini ditahan di Indonesia dan nelayan republik itu yang ditahan di Malaysia bagi kesalahan menceroboh kawasan perairan dijangka dilakukan pada Khamis ini, kata Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifili Abu Bakar.
  • KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kini berdepan cubaan suapan rasuah oleh nelayan asing yang ditangkap melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan negara.