KUALA LUMPUR - Seramai lima lelaki ditahan kerana dipercayai menghalang anggota polis menjalankan tugas ketika menyuraikan sekumpulan pemandu teksi yang dipercayai melancarkan mogok berhampiran sebuah pusat membeli belah di Bukit Bintang, hari ini.

Kumpulan tersebut berhimpun bagi membantah perkhidmatan Grab Car dan Uber.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, pihaknya turut menyita dua teksi kerana menghalang lalu lintas.

“Sekumpulan pemandu teksi telah berkumpul di Jalan Ampang berhampiran KLCC pada jam 10 pagi, sebelum mereka berarak ke Jalan Bukit Bintang.

“Kita mendapati sebanyak 50 hingga 70 teksi berkumpul di hadapan sebuah pasaraya di Jalan Bukit Bintang pada jam 10.20 pagi,” katanya.

Beliau berkata, Jalan Bukit Bintang mulai sesak pada jam 10.30 pagi kerana pemandu teksi memberhentikan kenderaan mereka.

“Hanya satu lorong boleh dilalui, semua jalan masuk ke Jalan Bukit Bintang terpaksa dilencongkan oleh polis trafik bagi mengelakkan orang ramai tersangkut dalam kesesakan lalu lintas,” katanya.

Zainol berkata, timbalannya Superitenden Habibi Majinji cuba beruding dengan wakil kumpulan pemandu teksi itu, namun gagal.

“Pada jam 11.45 pagi, kita telah memberikan arahan untuk mereka bersurai dalam tempoh 15 minit atau tindakan undang-undang akan diambil ke atas mereka,” katanya.

Pada jam 12.30 tengah hari, Jalan Bukit Bintang dibuka semula dan keadaan kembali tenang.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Pemandu teksi tidak sepatutnya membuat kesimpulan sendiri bahawa kerajaan telah meluluskan perkhidmatan Uber dan GrabCar seterusnya melakukan mogok berhubung perkara itu, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi.
  • KULAIJAYA - Sebuah kereta pengurus kilang diterbalik dan dibakar dalam satu kejadian mogok oleh kira-kira 800 pekerja asing kilang membuat komponen pemacu cakera keras Taman Perindustrian Kelapa Sawit, di sini, hari ini.
  • JOHOR BAHRU - Polis merekodkan 40 keterangan daripada pelbagai individu bagi membantu siasatan berhubung bantahan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, di sini, Jumaat lepas, berikutan pelaksanaan kadar tol baharu.
  • KUALA LUMPUR - Operasi kutipan tol di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru hari ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah.