IPOH - [VIDEO] Seorang pekerja kilang parah akibat melecur manakala enam kakitangan yang lain terselamat dalam kejadian kebakaran di kilang petrokimia di Kawasan Perindustrian Bukit Merah di sini, petang tadi.

Lelaki berusia lingkungan 53 tahun itu didapati melecur 85 peratus dikejarkan ke unit kecemasan, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu, lima kilang lain membabitkan kilang percetakan, kilang tepung dan kilang kitar semula turut terjejas selain memusnahkan tiga kereta dan lima motosikal.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Mohamad Yunus Abu berkata, mangsa mengalami kesan kebakaran tahap kedua dan dikejarkan ke hospital dengan menggunakan jentera Unit Kecemasan Perhidmatan Penyelamat Perubatan (EMRS).

Menurutnya, tujuh jentera dari empat balai dengan kekuatan 40 anggota dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.54 petang.

“Setibanya ditempat kejadian didapati api sedang marak dan kebakaran bermula dari kilang petrokimia sebelum merebak ke lima kilang berhampiran.

“Operasi melibatkan aset dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Ipoh, Simpang Pulai dan Meru Raya serta bantuan pasukan bomba sukarela, Rela dan Polis,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohamad Yunus berkata, kebakaran tersebut menyebabkan kilang petrokimia itu musnah sebanyak 95 peratus.

“Setakat ini, kami masih menyiasat punca kejadian termasuk jumlah sebenar kerugian oleh pasukan forensik. Bagaimanapun, api berjaya dikawal kira-kira jam 4.35 petang,” katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :