• Setiausaha DAP Negeri, Nga Kor Ming Setiausaha DAP Negeri, Nga Kor Ming
1 /

IPOH – Setiausaha DAP Negeri, Nga Kor Ming menafikan ada mengeluarkan perkataan berunsur ugutan kepada Adun Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman pada hari empat Sidang Dun ke-12, Khamis lalu.

Beliau ketika dihubungi mengakui, agak terkejut dengan laporan yang dibuat Hamidah mengatakan dirinya diugut sekali gus mengaitkannya dengan skandal pemilikan tanah di Kelantan.

Menurutnya, apa yang berlaku tiada langsung kaitan ugutan, malah pada hari kejadian, semua wakil rakyat (termasuk pembangkang) masih boleh dilihat bergembira dan ambil gambar bersama.

“Saya tidak ada keluarkan ungkapan sebegitu, di kantin ada ramai orang, jika saya katakan pun pasti ada yang melarang.

“Jika benar beliau (Hamidah) berasa terancam, takkanlah kami masih boleh bergurau dan mengambil gambar bersama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR),” katanya.

Kor Ming tidak menolak kemungkinan isu itu timbul kerana desakan pilihan raya umum (PRU) yang makin hampir.

Mengulas mengenai laporan polis yang dibuat Hamidah, semalam kata beliau, pihaknya tidak berdepan masalah sekiranya polis mahu menjalankan siasatan.

“Harap polis dapat siasat termasuk kemungkinan laporan dibuat itu adalah palsu,” katanya.