KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan empat hari, 15-16 Mei dan 22-23 Mei untuk perbicaraan kes saman aktivis sosial Datin Paduka Marina Tun Dr Mahathir terhadap Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan 15 anggota jawatankuasa (AJK) pertubuhan itu.

Kes saman itu berhubung pernyataan yang didakwa berunsur fitnah mengaitkan Marina dengan aktiviti Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Hak Asasi Manusia (Comango).

Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas bertemu peguam Muhammad Faizal Faiz Mohd Hasani yang mewakili Marina dan peguam Azad Bashir, yang mewakili kesemua defendan.

Azad memberitahu pemberita bahawa mahkamah menetapkan 15 April untuk pengurusan kes.

Sementara itu kesemua defendan dalam pernyatan pembelaan mereka menafikan menerbitkan pernyataan fitnah terhadap Marina.

Kesemua defendan itu berkata laman web di http://www.ismaweb.net dan laman web facebook di http://www.facebook.com/isma.malaysia bukan kepunyaan Isma.

Pada 16 Januari lepas, Marina yang juga anggota Lembaga Pengarah Sisters in Islam (SiS) menamakan Presiden pertubuhan itu Abdullah Zaik Abd Rahman, Timbalan Presidennya Aminuddin Yahaya dan Naib Presiden Abdul Rahman Mat Dali serta 13 AJK pertubuhan itu sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Marina mendakwa Isma mengedarkan 70,000 risalah bertajuk 'Antara 54 NGO dalam Comango' di masjid-masjid sekitar Lembah Klang, Kuala Lumpur, Shah Alam, Putrajaya, Seremban, Samarahan (Sarawak), Melaka, Kuantan dan Kuala Terengganu pada 8 November tahun lepas.

Bekas pengerusi Yayasan Aids Malaysia (MAF) itu mendakwa Isma juga menerbitkan artikel lain bertajuk "ISMA edar 70,000 risalah dedah dalang Comango" dalam laman web Isma di http://www.ismaweb.net dan Facebook di https://wwww.facebook.com/isma.malaysia pada tarikh yang sama (8 November).

Beliau mendakwa pernyataan-pernyataan fitnah itu membawa maksud bahawa beliau dikaitkan dalam aktiviti Comango, terlibat secara peribadi dalam laporan yang diterbitkan Comango dan menjadi dalang di sebalik Comango serta tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu Marina menuntut ganti rugi teladan, ganti rugi teruk, injunksi untuk menghalang kesemua defendan daripada menerbitkan semula pernyataan fitnah itu dan permohonan maaf daripada kesemua defendan berserta faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin gagal meneruskan rayuan untuk mengetepikan keputusan mahkamah tinggi yang memerintahkannya membayar RM150,000 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana membuat kenyataan fitnah 10 tahun lalu.
  • KUALA LUMPUR - Keputusan permohonan Setiausaha dan Speaker Dewan Rakyat bagi membatalkan saman Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Hee Loy Sian kerana menolak dua soalan yang dikemukakan berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Parlimen akan diketahui 19 Februari depan.
  • KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan tiga hari bermula 24 April untuk perbicaraan kes saman fitnah difailkan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap bekas presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik berhubung kenyataan berbaur fitnah terhadap perdana menteri itu yang disiarkan dalam sebuah artikel, tiga tahun lepas.
  • KUALA LUMPUR - Sebanyak 21,613 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelbagai kesalahan dalam Ops Patuh yang dijalankan di seluruh negara bagi tempoh Januari sehingga 30 Disember 2017.
  • KUALA LUMPUR - Sebanyak 327 saman dikeluarkan ke atas penunggang motosikal dan pemandu kereta pada Op Tutup yang dijalankan di beberapa lokasi bagi mengekang kegiatan samseng jalanan dan lumba haram di ibu negara, malam tadi.