MANJUNG - Tindakan sepasukan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dipercayai cuba memintas sebuah kenderaan lain mengundang padah apabila menimbulkan kemarahan orang ramai yang bertindak membakar kenderaan itu dalam satu insiden di Kilometer 12 Jalan Ipoh-Lumut, berhampiran Sekolah Menengah Methodist Ayer Tawar, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, kenderaan jenis Toyota Harrier milik JPJ yang membawa tiga anggota dari arah Lumut ke Ipoh, dikatakan menaiki pembahagi jalan untuk memintas sebuah kenderaan dari arah bertentangan.

Bagaimanapun, tindakan drastik kenderaan itu menyebabkan sembilan kenderaan lain yang berada di laluan bersebelahan tidak sempat mengelak lalu berlanggar sesama sendiri.

Dikatakan menjadi punca kemalangan, orang ramai yang berang bertindak lepaskan geram sebelum membakar kenderaan JPJ itu.

Kemalangan melibatkan dua lori tiga tan, dua bas sekolah, empat kereta dan sebuah motosikal itu mengakibatkan empat parah sementara 11 yang lain cedera.

Saksi kejadian, Saravanan, 44, berkata, selang 20 minit selepas pelanggaran, orang ramai dilihat mengerumuni kenderaan JPJ berkenaan yang terbalik merintangi laluan.

Menurutnya, beberapa individu dilihat cuba melepaskan geram dengan menendang dan memukul kenderaan tersebut menggunakan topi keledar.

“Ada beberapa anggota pihak berkuasa yang cuba untuk meleraikan, namun situasi tenang tidak lama.

“Mereka kembali merusuh dan ketika itu orang ramai sekali lagi mengerumuni kenderaan berkenaan dan menterbalikkan kereta itu sebanyak dua kali,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Saravanan berkata, dalam keadaan tidak terkawal itu, secara tiba-tiba api dilihat dari bahagian bawah kenderaan menyebabkan orang ramai bertempiaran lari. Tindakan pantas anggota bomba memadam kebakaran berjaya menyelamatkan keadaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Rizuan Ramli berkata, kebakaran itu berlaku ketika kerja selamat mangsa dilakukan.

“Kita tiba di tempat kejadian sebaik terima panggilan kira-kira 12.21 tengah hari. Ketika itu semua mangsa dibawa keluar orang awam dan dihantar ke hospital rawatan lanjut,” katanya.

Bunyi dentuman kuat

“Ketika itu saya sedang menunggu anak yang mahu pulang dari sekolah, tiba-tiba saya terdengar bunyi satu dentuman yang kuat dari arah jalan.

“Saya yang mula mengesyaki sesuatu terus menuju ke tempat kejadian dan melihat beberapa kenderaan telah berlanggar,” demikian kata seorang saksi, Asrol, 36.

Katanya, ketika itu dia berada 20 meter sahaja dari tempat kejadian.

“Saya melihat beberapa mangsa tersepit dalam kenderaan masing-masing dan bertindak membantu mereka, ketika itu dia tidak memikirkan apa-apa kecuali mahu menyelamatkan mangsa,” katanya.

Asrol berkata, mereka terpaksa mengumpil bahagian pintu serta beberapa bahagian lain kenderaan untuk mengeluarkan mangsa.

Kenderaan saling berlanggar

Seorang lagi saksi dikenali Raja, 47, berkata, insiden itu menyebabkan beberapa kenderaan saling berlanggar sesama sendiri.

Katanya, lori, kereta, bas dan motosikal yang berada di laluan berkenaan masing-masing tidak sempat mengelak sebelum saling berlanggar.

“Ini kejadian pertama seumpama ini yang pernah saya lihat melibatkan begitu banyak kenderaan,” katanya.

Anggota JPJ selamatkan diri

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan semua mangsa dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, ketika kejadian, tiga anggota JPJ berjaya keluar dari kenderaan yang dinaiki sebelum melarikan diri kerana khuatir dicederakan orang ramai.

“Ketiga-tiga mereka menumpang kenderaan orang awam untuk ke Balai Polis Seri Manjung.

“Siasatan mendapati, kenderaan JPJ telah dirosakkan, cubaan membakar turut berlaku, namun berjaya diselamatkan bomba yang berada di tempat kejadian,” katanya.

Walau bagaimanapun, menurut beliau, insiden itu berlaku apabila kenderaan JPJ berkenaan berhenti di lampu yang menunjukkan isyarat merah di Pekan Ayer Tawar.

“Semasa tunggu lampu bertukar hijau, tiba-tiba sebuah lori bawa muatan kelapa sawit dari arah Ipoh melanggar kenderaan JPJ itu,” katanya.

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.