TELOK PANGLIMA GARANG - Dua kenderaan milik guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Panglima Garang, Kuala Langat terbakar di kawasan tempat letak kenderaan di sekolah berkenaan, semalam.

Kejadian berlaku kira kira jam 8.46 pagi itu apabila guru sekolah berkenaan, S Virmala meninggalkan kenderaannya dengan enjin dipercayai masih belum dimatikan sebelum keluar semula untuk ke pejabat sekolah untuk urusan kebenaran ke klinik.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Banting Mohd Jaslizad Jalil berkata, kejadian melibatkan dua kenderaan jenis Proton Waja yang terbakar sepenuhnya manakala sebuah lagi kenderaan jenis Perodua Myvi hanya terbakar di bahagian belakang akibat terkena percikan api.

Menurutnya, pihaknya terpaksa menggunakan saluran dari air tangki jentera bomba untuk proses pemadaman sehingga kebakaran tersebut padam sepenuhnya.

“Ketika anggotanya tiba, api sudah marak dan keadaan kenderaan sudah terbakar secara keseluruhan.

“Namun pihak kami berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke sebuah lagi kenderaan jenis Perodua Myvi yang berada bersebelahan kenderaan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Jaslizad berkata, mangsa memaklumkan beliau meninggalkan keretanya dalam masa 10 minit dan kemudian dimaklumkan oleh pelajar kenderaannya terbakar.

Katanya, laporan awal memaklumkan kenderaan tersebut sudah dimatikan tetapi terkejut ia terbakar secara tiba tiba sehingga terkena ke arah bahagian belakang sebuah lagi kenderaan berhampiran.

“Api dapat dikawal kira kira 9.15 pagi dan padam sepenuhnya lima minit kemudian.

“Bagaimanapun anggaran kerugian dan punca kebakaran disebabkan daripada fius overload,” katanya.

Jaslizad turut menafikan dakwaan pihak tertentu kenderaan itu dibakar oleh pelajar kerana siasatan masih lagi dijalankan.

"Bagaimanapun mujur tiada kemalangan nyawa berlaku kerana melibatkan kawasan pelajar sekolah lalu-lalang," katanya.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan ketika kejadian kenderaan terbabit terbakar sendiri sebelum menerima maklumat daripada pelajar yang bergegas ke pejabat sekolah memaklumkan kenderaan milik guru tingkatan enam itu terbakar secara tiba tiba.

Menurut sumber, dia segera bergegas ke kenderaan yang sudah berasap itu kerana bimbang guru terbabit masih berada di dalam kereta.

Namun katanya, mujur tiada sesiapa di dalam kenderaan sebelum melihat guru berkenaan bergegas semula ke keretanya melihat kenderaannya terbakar di hadapan mata.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SUNGAI PETANI - Mayat seorang pengurus perniagaan sempat dibawa keluar oleh orang awam sebelum kenderaan yang dinaiki oleh mangsa terbakar dekat Klinik Kesihatan Bandar, di Kilometer 85 Jalan Alor Setar- Butterworth, di sini, pagi tadi.
  • PUTRAJAYA - Polis menolak kemungkinan wujud unsur khianat berhubung kes kebakaran membabitkan kenderaan milik seorang pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), di Presint 9, di sini, malam tadi.
  • JENGKA - Aksi kejar melibatkan sebuah kereta peronda polis dan sebuah kereta dalam keadaan terbakar di Bandar Pusat Jengka di sini, berakhir dengan tangkapan seorang daripada penumpangnya manakala dua lagi meloloskan diri.
  • KUALA LUMPUR - Sebuah kereta hangus dalam satu kebakaran di KM27.7, Lebuhraya Utara-Selatan, dari Bukit Lanjan menghala ke Tol Jalan Duta, di sini, pagi tadi.
  • PETALING JAYA - Seorang penghantar surat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan melakukan khianat menggunakan bahan api sehingga menyebabkan kebakaran enam kenderaan di tempat letak kereta berhampiran Stesen LRT Taman Jaya, Isnin lalu.