28 lelaki ditahan bantu kes merusuh dengan parang

Keadaan kereta yang diserang sekumpulan lelaki menggunakan parang di Butterworth pada Jumaat.
Keadaan kereta yang diserang sekumpulan lelaki menggunakan parang di Butterworth pada Jumaat.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seramai 28 lelaki berusia antara 17 hingga 51 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes rusuhan bersenjatakan parang di Butterworth pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, tangkapan dibuat oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang pada Sabtu bersama barang rampasan kes.

Menurutnya, siasatan awal mendapati punca pergaduhan bermula daripada pertengkaran dan provokasi sesama mereka sebelum berlaku keadaan menjadi lebih tegang.

"Kesemua tangkapan ditahan reman oleh Majistret Butterworth untuk siasatan lanjut.

"Kita masih lagi mengesan saki-baki suspek yang terlibat dan berharap mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk menyalurkan di mana-mana balai polis berhampiran," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Mohd Asri berkata, orang ramai juga boleh terus berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Nasrina Darus di talian 04-5762222.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

Sejak Jumaat, tular video pendek empat saat yang memaparkan tindakan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang merusuh dan menyerang sebuah kereta.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan kejadian berkenaan berlaku kawasan Raja Uda di Butterworth dan dikatakan melibatkan dua kumpulan di kawasan terbabit.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!