Pesawat ringan terhempas sedang jalani latihan penerbangan

Mohd Yusri
Mohd Yusri
A
A
A

TANJUNG MALIM - Pesawat ringan yang terhempas di sebuah ladang dekat Felda Gunung Besout 2, Sungkai di sini pada Sabtu dilaporkan sedang menjalani latihan penerbangan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pesawat CESSNA 172 Skyhawk dengan pendaftaran 9M-ADA dinaiki dua individu itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh pada jam 7.59 pagi ke Tanjung Karang, Selangor bagi tujuan latihan.

Menurutnya, semasa berpatah balik, pesawat kendalian Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd itu terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur pada jam 9.35 pagi.

"Polis menerima makluman berkenaan nahas ini pada jam 9.55 pagi. Kejadian berlaku semasa pesawat terbabit menjalani latihan penerbangan.

"Pasukan keselamatan yang sampai ke tempat kejadian telah melakukan kerja-kerja menyelamat dan berjaya mengeluarkan mangsa untuk dibawa ke hospital bagi tujuan rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam majlis penyerahan Kem Sultan Nazrin Shah dan Ramah Mesra Raya Madani bersama warga Unit 69 Komando di Ibu Pejabat 69 Komando Kem Sultan Nazrin Shah, Ulu Kinta di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, lokasi nahas dikenal pasti merupakan kawasan hutan kecil dan dikelilingi pokok-pokok.

Katanya, kawalan ketat telah dilakukan di kawasan terlibat agar tidak diganggu dengan kehadiran orang awam selain memastikan siasatan dapat dijalankan dengan lancar.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan masih di peringkat awal, kita akan lihat dari pelbagai sudut.

"Buat masa ini, polis akan mengawal dan membuat pemantauan ke atas lokasi kejadian dan selanjutnya akan diambil alih oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM)," katanya.

Dalam nahas itu, kedua-dua mangsa iaitu seorang lelaki dan wanita disahkan selamat.

Juruterbang, Kapten Shahrul Imran Surea, 26, mengalami patah kaki kanan manakala pelatih Le Ho Jia, 20, alami bengkak muka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!