SANDAKAN - Kerajaan meluluskan pelaksanaan Bayaran Insentif Tugas Stesen Luar Pantai (BITSLP) untuk anggota tentera yang bertugas di 22 pos baharu Op Pasir di pantai timur Sabah berkuat kuasa bulan ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata seramai 1,200 anggota tentera yang bertugas di pos berkenaan akan menerima insentif tambahan sebanyak RM1,400 sepanjang tiga bulan penugasan mereka di sana.

Katanya pelaksanaan itu susulan permohonan yang dibuat oleh kementeriannya kepada Jabatan Perkhidmatan Awam bagi mempertimbangkan anggota tentera yang bertugas di pos baharu tersebut diberi kelayakan menerima insentif itu.

“Hasil keprihatinan kerajaan, pembayaran insentif ini telah diluluskan dan akan mula dilaksanakan bermula bulan ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Libaran di sini, hari ini.

Justeru, katanya, bermula bulan ini anggota tentera yang ditugaskan di 22 pos baharu itu bakal menerima BITSLP dengan kadar RM16 sehari.

Katanya, sebelum ini, anggota tentera yang bertugas di pos kawalan itu tidak layak menerima insentif  berkenaan kerana pos-pos itu belum diwartakan.

Menurutnya, BITSLP sebelum ini telah diberikan kepada anggota tentera yang bertugas di 28 pos Op Pasir sedia ada di pantai timur Sabah, lima pos Stesen Luar Pantai di Kepulauan Spratly Laut China Selatan dan dua pos Op Pejarak di Pulau Perak dan Pulau Jarak di Selat Melaka.

Hishammuddin berkata pembayaran insentif ini merupakan sebahagian daripada usaha terbaru kerajaan untuk membantu membela nasib dan memelihara kebajikan anggota tentera.

Beliau berharap agar bayaran insentif ini berupaya meningkatkan lagi semangat juang dan iltizam mereka dalam usaha mempertahankan keselamatan dan kedaulatan tanah air. -Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KLUANG - Operasi mencari dan menyelamat kru kapal pemusnah Amerika Syarikat USS John S. Mccain di timur perairan Johor akan diteruskan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi mencari mangsa yang masih hilang.
  • LUMUT - Pendekatan kreatif Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membina Kapal Tempur Pesisir (LCS) terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu adalah suatu pencapaian yang membanggakan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
  • SEREMBAN - Masyarakat tidak sepatutnya menghukum, apatah lagi mengaibkan mana-mana individu yang masih dalam proses siasatan pihak berkuasa kerana belum pasti mereka bersalah atau sebaliknya.
  • KUALA LUMPUR - Malaysia akan bersama-sama kerajaan Arab Saudi untuk mempertahankan kesucian dua kota suci umat Islam, Makkah dan Madinah, daripada sebarang ancaman pengganas.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.