SHAH ALAM - Balingan selipar, kerusi, kasut, botol air dan suar di dalam program Nothing To Hide 2.0 didakwa disusun secara sistematik untuk mengenakan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad di atas pentas.

Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perkara itu jelas kelihatan apabila semua peralatan itu dibaling ke atas pentas utama di mana Mahathir berada.

"Dalam tempoh masa sejam setengah tiada masalah walaupun pelbagai isu sensitif dibangkitkan.

"Malangnya wujud elemen sabotaj yang sistematik .. kami rasa dan percaya ia ditujukan untuk sabotaj program dan mencederakan Tun M...jika dilihat selepas soalan seorang peserta itu, nampak botol kasut kerusi suar dicampak ke arah Tun, itu jelas," katanya dalam sidang medianya sebentar tadi.

Dalam pada itu, Syed Saddiq menzahirkan rasa kecewa berhubung isu tersebut.

"Secara jujurnya kami kecewa sebab peringkat  awal, tiada masalah.

"Jadi kami harap polis buat siasatan lanjut dan berterima kasih sebab polis membantu," katanya lagi.

Program Nothing To Hide 2.0 yang sepatutnya mempertemukan Mahathir dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu pentas tidak menjadi kenyataan apabila kelibat pemimpin nombor satu negara itu tidak kelihatan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Nothing To Hide 2.0: Tun M sendirian di atas pentas]

Bagaimanapun, program tersebut bertukar kecoh apabila berlaku adegan membaling kerusi dan suar ketika Mahathir menjawab soalan peserta.

[ARTIKEL BERKAITAN: Adegan baling kerusi, suar cemar Nothing To Hide 2.0]

Kekecohan tercetus ketika seorang peserta mengajukan soalan kepada Mahathir mengenai tragedi memali yang berlaku ketika zaman pemerintahan bekas perdana menteri itu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dicabar untuk membuat laporan polis terhadap individu yang didakwanya menawarkan RM5 juta kepadanya.
  • IPOH - Bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Hamidah Osman hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuduhan Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang didakwa menuduhnya sebagai ejen Umno.