TAMPIN - Hari pernikahan yang dinanti- nantikan seorang posmen untuk disatukan bersama kekasih hatinya dengan hantaran RM19,000, semalam menjadi hari paling mengecewakan dalam hidupnya apabila impian mendirikan rumah tangga punah.

Bakal pengantin itu terkejut apabila kediaman bakal pengantin perempuan tidak berpenghuni dan bakal isterinya tidak dapat dihubungi sedangkan tarikh berkenaan merupakan tarikh mereka disatukan dan dinikahkan di rumah tersebut sebagaimana diputuskan sebelum ini.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, rombongan pengantin lelaki juga terpaksa menanggung malu dan rasa tertipu susulan telah menyerahkan wang hantaran  RM16,000 sebelum hari pernikahan.

Lebih mengecewakan, tarikh 2 April dipilih sebagai hari bahagia lelaki itu berikutan tarikh berkenaan merupakan ulang tahun kelahirannya, namun perkara tidak diingini berlaku.

Difahamkan, walaupun perbincangan majlis akad nikah dan perkahwinan belah pihak pengantin perempuan telah ditetapkan sebelum ini dan kad jemputan telah dibuat, namun jiran berdekatan tidak mengetahui hal tersebut dan tidak mendapat jemputan.

Menurut sumber, bakal pengantin lelaki berusia 26 tahun itu telah mengikat tali pertunangan dengan kekasih hatinya berusia 22 tahun yang bekerja sebagai pekerja kedai telefon di salah sebuah kedai di Pulau Sebang pada pertengahan 2014.

“Mengikut perjanjian semasa majlis pertunangan, mereka sepakat  menunggu tempoh dua tahun bagi memberi peluang kepada bakal pengantin lelaki mengumpul wang hantaran RM19,000.

“Bakal pengantin lelaki yang hanya bekerja sebagai posmen di Kuala Lumpur itu berjaya mengumpulkan wang hantaran dengan hasil titik peluh bekerja sebagai posmen dengan gaji RM900 sebulan serta bantuan kewangan daripada adik-beradiknya yang lain,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sumber berkata, bakal pengantin lelaki telah menyerahkan wang hantaran RM13,000 kepada keluarga pengantin perempuan yang tinggal kira- kira 3 kilometer dari kediaman keluarganya pada pertengahan November lalu dan pada awal Mac lalu, mangsa menyerahkan wang sebanyak RM3,000 lagi.

Kata sumber, baki sebanyak RM3,000 lagi bakal diserahkan lelaki itu kepada bakal isterinya itu di hari mereka disatukan dengan ikatan akad nikah yang sepatutnya berlaku semalam.

Bakal pengantin lelaki difahamkan turut mengalami kerugian lebih RM30,000 berikutan sudah membuat pelbagai persediaan di majlis perkahwinan rumah pengantin perempuan termasuk pelamin, baju pengantin dan jurukamera.

Menurut sumber, mangsa bakal mengambil tindakan saman malu berhubung insiden berkenaan kerana bakal pengantin melarikan diri di hari perkahwinan termasuk mengedarkan kad jemputan perkahwinan bagi pihak keluarga lelaki.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang  mengesahkan ada menerima laporan berhubung insiden berkenaan.

Usaha Sinar Harian untuk mendapatkan reaksi dari pihak bakal pengantin perempuan semalam tidak berjaya.

Kes melibatkan pasangan pengantin merupakan kes kedua berlaku dalam dua minggu ini. Sebelum ini hasrat seorang pengawal keselamatan untuk melangsungkan perkahwinan bersama pasangannya tidak kesampaian selepas dia ditumbuk  ahli keluarga wanita terbabit dalam satu kejadian di Masjid Jamek Al-Khadijiah, gara- gara tidak menyediakan wang hantaran RM15,000 yang mencukupi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GEORGETOWN - Polis melepas tujuh das tembakan ke arah sebuah kereta berikutan pemandunya memecut laju ketika polis meminta untuk memeriksa kenderaan terbabit.
  • SHAH ALAM - Ibu kandung warga Indonesia yang dipercayai melarikan diri dari wad bersalin Hospital Putrajaya dicari bagi urusan penempatan bayi kandungnya yang berusia satu bulan.
  • BESUT - Empat termasuk seorang pengantin baharu lelaki maut selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di KM93, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Renek, Jerteh di sini pada pukul 2.20 petang tadi.
  • BESUT - Empat maut termasuk seorang pengantin baru selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di KM 93 Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu dekat Kampung Renek di sini kira-kira jam 2.20 petang tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.