KUALA LUMPUR - Tiga lanun warga Somalia, dihukum penjara 10 tahun, oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini manakala empat lagi dipenjara empat tahun selepas mengaku bersalah atas tuduhan melepaskan tembakan ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Teluk Aden dua tahun lepas.

Pengakuan bersalah itu dibuat dan direkodkan dihadapan hakim, Datuk Azman Husin selepas pertuduhan pilihan pindaan dibacakan oleh jurubahasa dan diterjemah dalam bahasa Somalia.

Azman berkata, hukuman penjara adalah lebih sesuai dikenakan ke atas empat tertuduh muda selepas mengambil kira pengakuan salah, keseriusan kesalahan, latar belakang dan ancaman terhadap masyarakat selepas pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujahan dan rayuan masing-masing.

Hakim menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun ke atas Ahmed Othman Jamal, 30, Abdil Eid Hassan, 22, dan Abdi Hakim Mohd Abdi, 22, manakala empat lagi yang merupakan pesalah muda dihukum penjara lapan tahun, bermula dari tarikh tangkap.

Berdasarkan kertas pertuduhan, ketujuh-tujuh mereka didakwa bersama beberapa orang yang masih bebas didakwa melepaskan tembakan ke atas ATM dengan niat menghalang diri dari ditahan secara sah.

Kejadian didakwa berlaku di atas kapal Bunga Laurel berkoordinat di Lat 20' 14.73N Long 063' 39.6 E, 250 Batu Nautika dari Perairan Oman, antara jam 8.10 hingga jam 10 malam, 20 Januari 2011.

Pada 11 Februari 2011, ketujuh-tujuh mereka didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan melakukan rompakan dan melepaskan tembakan senjata api ke arah pasukan ATM dengan niat mendatangkan kematian atau kecederaan di Perairan Oman tahun lepas.

Mereka sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Hukuman Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.   

Bagaimanapun, pertuduhan pilihan terhadap mereka ialah mengikut Seksyen 32(1)(a) Akta Senjata Api yang memperuntukkan hukuman lebih ringan iaitu penjara sehingga 14 tahun. 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Seorang lelaki kekal ditahan di penjara selama diperkenan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah kerana membunuh pelacur China yang dilangganinya, enam tahun lalu.
  • KUALA LUMPUR - Hasrat seorang pekebun untuk mati syahid dengan menyertai kumpulan pengganas Daesh tidak kesampaian apabila dia akhirnya ditangkap pihak berkuasa dalam satu serbuan di sebuah rumah pada 16 Mac tahun lepas.
  • KOTA BHARU - Seorang buruh binaan dihukum penjara lima tahun di mahkamah sesyen, hari ini, atas dakwaan memiliki pedang berukuran 54 sentimeter bulan lalu.
  • KLANG - Gara-gara menghayun kayu hoki bertujuan menakut-nakutkan individu lain, seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara empat hari dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
  • KUALA LUMPUR - Seorang buruh dihukum penjara 11 bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas dua pertuduhan menggunakan dadah dan memiliki dadah yang disorokkan dalam kotak rokok pada Ogos lepas.