SHAH ALAM - Bajet 2018 dengan temanya yang panjang, didakwa  merupakan bajet berunsur fiksyen yang terhebat dalam sejarah negara.

Justeru, dakwa Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh, bajet kali ini, dianggap layak menjadi pemenang anugerah filem fiksyen terbaik Malaysia.

"Ada beberapa sebab mengapa saya katakan demikian.

"Pertama, pelbagai peruntukan dan pemberian diumumkan dengan sepintas lalu dan penuh bangga.

"Namun dari manakah Datuk Seri Najib akan mencekau wang defisit sejumlah RM40.39 bilion akibat daripada unjuran perbelanjaan Bajet 2018 sebanyak RM280.25 bilion yang melebihi hasil sebanyak RM239.86 bilion?," dakwanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Najib yang juga Menteri Kewangan membentangkan Bajet 2018 di Parlimen dengan mengetengahkan lapan tunjang utama antaranya merancak pelaburan perdagangan dan industri, mengutamakan kesejahteraan rakyat dan peluang menjana pendapatan dan meningkatkan kecekapan dan penyampaian GLC dan perkhidmatan awam.

Bajet tahun ini juga bertemakan 'memakmur ekonomi yang inklusif, mengimbangi keunggulan duniawi dan ukhrawi demi mensejahtera kehidupan rakyat, menuju aspirasi TN50'.

Jelasnya, walaupun disedari bahawa lazimnya, defisit akan ditampung melalui pinjaman atau hutang namun umum mengetahui bahawa hutang negara sudah tinggi iaitu hampir mencecah siling nisbah hutang-KDNK sebanyak 55 peratus.

Katanya lagi, Itu belum dikira hutang kontingen yang tidak dimasukkan dalam Bajet kerajaan seperti 1MDB, MRT dan Felda.

"Apakah tambahan hutang RM40.39 bilion sangat perlu? Sudahkah kerajaan mengambilkira kadar faedah yang terpaksa dibayar ke atas hutang itu yang dianggarkan berjumlah RM31 bilion

"Apakah rakyat kini dicukai untuk membayar hutang atau untuk mendapat manfaat daripada cukai tersebut?," katanya.

Dalam masa yang sama, soalnya mengapakah kerajaan tidak meletakkan keutamaan kepada pembanterasan rasuah, pembaziran dan ketirisan sebagai langkah penjimatan penting kepada perbelanjaan yang terus mengembung.

"Saya langsung tidak nampak komitmen kerajaan dalam hal ini," katanya lagi.