PRK KKB: DAP sudah buat terbaik, terpulang pengundi menilai

Anthony (tengah) menandatangani plak Perasmian Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato ' Sheikh Ahmad
Anthony (tengah) menandatangani plak Perasmian Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato ' Sheikh Ahmad
A
A
A

SEREMBAN - DAP yakin mampu mengekalkan kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan berlangsung pada Sabtu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, DAP bersama rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan telah buat yang terbaik dan kini terpulang kepada pengundi membuat penilaian.

"Sudah tentu kita ada keyakinan (untuk menang) dan kita harap keyakinan itu dapat diterjemahkan (pada hari pengundian).

"Kita telah buat segala yang terbaik, terpulang kepada rakyat sekarang ini.

"Hari ini, hari terakhir berkempen dan semalam (Khamis) kita telah adakan 'grand finale', pimpinan dari semua parti sudah hadir dan kita telah melakukan kempen yang terbaik," katanya ditemui selepas Majlis Perasmian Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Sheikh Ahmad di sini pada Jumaat.

Anthony turut mengharapkan peratusan keluar mengundi kali ini akan lebih tinggi.

PRK Dewan DUN Kuala Kubu Baharu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

DUN Kuala Kubu Baharu memiliki 40,226 pengundi berdaftar terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu dalam perkembangan lain, Menteri Pengangkutan itu berkata, kerajaan masih belum membuat keputusan berkenaan cadangan syarikat robotik marin Ocean Infinity untuk memulakan semula pencarian pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370.

"Kita perlukan masa dan kertas cadangan terperinci daripada mereka (Ocean Infinity) baharu kita boleh sediakan kertas kabinet pada bulan Ogos nanti.

"Bulan Ogos cadangan ini akan dibawa ke Kabinet untuk dipertimbangkan," katanya.

Pada 3 Mei lalu, Association For Families of the Passengers and Crew on board MH370 dalam hantaran melalui laman Facebook mendedahkan Ocean Infinity telah menghantar kertas cadangan bagi menghidupkan semula pencarian pesawat itu kepada Anthony.

Syarikat berkenaan antara lain mencadangkan supaya proses pencarian berkenaan dilakukan atas dasar No Find No Fee (tak jumpa tiada bayaran).

Kontrak terdahulu bersama Ocean Infinity bagi pencarian MH370 telah ditamatkan pada 2018.

Pada 8 Mac 2014, pesawat milik Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang membawa sebanyak 239 penumpang dilaporkan hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!