PKR minta Takiyuddin henti guna taktik kotor

Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) meminta Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan supaya berhenti menggunakan politik kotor dan murahan untuk mendapatkan kepercayaan rakyat.

Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia berikutan Takiyuddin membangkitkan isu lama berkaitan fitnah media Itali terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu baru-baru ini.

Beliau berkata, Takiyuddin masih memainkan isu-isu fitnah berkaitan Anwar tersebut untuk meraih undi.

“Tohmahan ini berlaku ketika pemimpin-pemimpin utama Pas sedang berunding dan mendekati Anwar untuk mendapatkan peruntukan.

“Nasihat saya kepada Takiyuddin, berhentilah. Strategi politik murahan seperti ini tidak memberi keuntungan kepada pengundi-pengundi Kuala Kubu Baharu.

“Lebih baik Takiyuddin ceritakan tawaran-tawaran Perikatan Nasional (PN) jika dipilih pada PRK kali ini,” katanya menerusi hantaran di X pada Jumaat.

Tambah Nik Nazmi, bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berpesan pada 2012 supaya berhenti memalukan Anwar kerana perjuangan Islam tidak seperti itu.

Ujarnya, Takiyuddin perlu sedar bahawa individu beliau cuba malukan merupakan sosok penting dalam sinergi politik yang telah membawa keuntungan besar kepada Pas sejak 1998.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!