PRK KKB: Gerakan yakin tak salah percaturan letak calon Melayu

Chia Zhen (tengah) beramah mesra dengan masyarakat di Kuala Kubu Baharu ketika turun membantu kempen calon PN bersama ahli Gerakan Kedah.
Chia Zhen (tengah) beramah mesra dengan masyarakat di Kuala Kubu Baharu ketika turun membantu kempen calon PN bersama ahli Gerakan Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Perikatan Nasional (PN) tidak salah percaturan apabila meletakkan calon Melayu di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) menggantikan Gerakan yang menjadi tradisi calon di kerusi berkenaan.

Ketua Pemuda Gerakan Pusat, Wong Chia Zhen berkata, parti itu yakin pengundi Cina yang pernah memberi undi kepada Gerakan sebelum ini akan terus mengundi PN, biarpun memberi laluan kepada rakan gabungan PN.

Menurutnya, secara asasnya, sudah tentu pengundi Melayu pula akan menyatakan sokongan kepada calon PN, namun ia tidak seharusnya menjurus kepada perkauman, sebaliknya meneliti keupayaan calon untuk menjadi wakil rakyat.

“PRK ini sepatutnya tidak digambarkan sebagai pertempuran antara calon berdasarkan kaum sama ada Melayu atau Cina.

“Pengundi seharusnya bijak, penilaian calon harus berdasarkan kepada parti yang diwakili, selain menilai prestasi Pakatan Harapan (PH) yang bernaung bawah Kerajaan Perpaduan.

“Apa manfaat dalam tempoh 17 bulan PH mentadbir? Pasti rakyat di situ mampu bandingkan kerana ditadbir oleh pihak yang sama di peringkat Persekutuan mahupun negeri,” katanya di sini pada Jumaat.

Pengerusi Gerakan Kedah itu berkata, pengundi di Kuala Kubu Baharu dipercayai akan membuat keputusan dengan bijak dan bukan mengikut warna kulit calon.

“Jangan sia-siakan peluang kedua ini. Dalam tempoh 17 bulan lalu, banyak isu meresahkan rakyat, antaranya kenaikan harga barang, kekurangan beras tempatan, nilai Ringgit Malaysia menurun, semua ini beri kesan besar kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Permasalahan yang masih tidak dapat diselesaikan ini adalah perkara yang menjadi kebimbangan rakyat, khususnya dalam mendepani ekonomi pada masa akan datang,” ujarnya.

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming mendakwa PN gagal mengambil peluang terhadap keputusan boikot MCA apabila mempertaruhkan calon Melayu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Kuala Kubu Baharu.

Kian Ming dilaporkan berkata, keputusan itu seolah menyerahkan undi Cina kepada calon PH.

Dalam pada itu, Chia Zhen membidas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang menyifatkan PRK tersebut sebagai pertembungan antara PH yang didakwa dilengkapi kepelbagaian, bersikap keterbukaan dan perpaduan menentang lawannya, PN yang dikatakan ekstremis, kolot dan konservatif.

“Dakwaan Kor Ming tidak berasas dan menyentuh isu sensitif. Rakyat sudah jemu dengan isu perkauman berterusan seperti itu, rakyat juga kini lebih prihatin terhadap keupayaan kerajaan dalam menyelesaikan masalah ekonomi.

“Contohnya, di Kedah, bawah pemerintahan PN, hubungan antara bukan Melayu dan Melayu sentiasa disuburkan dan harmoni,” ujarnya.

Pada Rabu, Kor Ming dalam siri kempennya di PRK Kuala Kubu Baharu, dipetik berkata, calon PH, Pang Sock Tao merupakan perisai terakhir membendung kemaraan gelombang hijau.

Beliau turut menggambarkan bahawa PN bersifat konservatif berbanding PH yang didakwa lebih bersikap terbuka.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH, Pang Sock Tao; Khairul Azhari Saut mewakili PN, Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) serta calon bebas, Nyau Ke Xin.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser setelah berkhidmat sebagai wakil rakyat di kerusi berkenaan sejak 2013.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor Ogos tahun lalu, mendiang menewaskan calon PN, Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.

DUN Kuala Kubu Baharu adalah kerusi campuran melibatkan 40,226 pengundi berdaftar, yang hampir sama peratusannya antara pengundi Melayu dan bukan Melayu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada Sabtu ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!