KUALA TERENGGANU - Pemuda Pas menegaskan ahli-ahli Umno bukan musuh sebenar parti itu sebaliknya makmum yang perlu diberi 'ubat'

Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata Pas hanya bermusuh dengan dasar parti itu yang sekularisme dan perkauman.

“Kita bermusuh dengan Umno, musuh politik selama lebih 60 tahun. Bayangkan apa yang berlaku di peringkat akar umbi.

"Tapi dalam masa yang sama kita sebagai gerakan Islam kita tak anggap ahli Umno musuh. Kita bermusuh dengan dasar Umno...perkaumannya, sekularismenya tapi bukan dengan ahlinya.

"Kita umpama doktor, kita bermusuh dengan penyakit-penyakit tapi kita tidak bermusuh dengan pesakit-pesakit. Tanggungjawab kita beri ubat ikut kesesuaian. Ahli Umno terdiri daripada kaum dan bangsa kita," katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Muktamar Pemuda Pas ke-59, hari ini.

Beliau sempat mengimbau nasihat yang pernah disuarakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar ahli parti tidak merasa diri sendiri suci tanpa dosa.

"Sebab itu saya ingat kata ulama, kita jangan anggap diri kita tak berdosa langsung dan orang yang kita musuh itu syaitan. Tuan Guru Abdul Hadi pernah sebut ini.

"Kita ada kekurangan, ahli-ahli Umno mereka bukan syaitan yang direjam tapi mereka makmum-makmum kita," katanya.