SHAH ALAM – Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan aliran Wahabi tidak sesuai untuk diamalkan di negara ini yang mengamalkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, aliran Wahabi bukan mazhab tetapi satu bentuk gerakan pemikiran agama yang banyak dipegang oleh ulama-ulama di Arab Saudi mengikuti pendekatan yang diambil Muhammad bin Abd Wahhab.

"Aliran tersebut tidak salah untuk diamalkan. Majlis Fatwa memutuskan sedemikian setelah mengadakan perbincangan mengenai aliran-aliran lain selain Wahabi yang tidak sesuai diamalkan di negara ini namun tidak sehingga haram," katanya, semalam.

Mengulas lanjut kata Abdul Shukor berkata, daripada segi mazhab, pengamal aliran Wahabi lebih hampir dengan mazhab Hambali walaupun daripada beberapa segi mereka lebih ketat dan keras.

Beliau berkata, pengikut Wahabi lebih cenderung dan mudah mengeluarkan orang Islam daripada lingkungan agama yang tidak sealiran dengan aliran Wahabi.

"Mereka menganggap setiap amalan yang tidak mengikuti cara yang dibuat oleh Nabi Muhammad SAW, dianggap bidaah dan terkeluar daripada Islam,” katanya.

Abdul Shukor berkata, apa yang tidak dipersetujui dengan aliran Wahabi apabila ia menjuruskan pengamal aliran itu lebih ekstrem.

“Mereka menganggap apa yang dilakukan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bidaah, bukan mengikut sunnah. Mereka juga menolak akidah Asha’irah dan Maturidiyah, malah dengan mengatakan dua akidah ini keluar dari Ahli Sunnah Wal Jamaah. Jadi ini pertikaian yang tidak menguntungkan sesiapa,” katanya.

Ditanya mengenai pengamal aliran ini ditegah untuk menyebarkan kepada orang lain, Abdul Shukor berkata, ia bergantung kepada enakmen negeri masing-masing untuk mencegah penyelewengan tersebut.

“Hak mengeluarkan fatwa adalah hak negeri masing-masing. Contoh seperti apa dilakukan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan yang mengeluarkan fatwa mengharamkan penyebaran Wahabi di negeri itu, sememangnya ia tidak bertentangan.

“Saya fikir, negeri tersebut mengharamkan Wahabi kerana tidak mahu berlaku kacau bilau dalam masyarakat Islam negeri itu,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Shukor berkata, tindakan negeri tersebut juga tidak akan menjejaskan hubungan negara dan Arab Saudi kerana sememangnya itu hak negeri tersebut.

“Jika perkara itu akan menjejaskan hubungan, maknanya tiada hak kepada negeri untuk membuat keputusan sendiri.

“Malahan Jakim dan Majlis Fatwa Kebangsaan telah membincangkan perkara tersebut lebih awal sebelum isu ini kembali disensasikan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Mufti tidak boleh gopoh dalam mengeluarkan fatwa, sebaliknya perlu cermat bagi mengelak perpecahan dalam kalangan umat Islam.
  • SEREMBAN - Juara Pencetus Ummah musim kedua, Azman Syah Alias, 34, atau PU Azman mengakui beliau tidak mempunyai tauliah untuk memberi ceramah dan mengajar agama...
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.