KUALA LUMPUR - Kerajaan didesak menurunkan harga petrol dan diesel bermula 1 Disember ini sebelum rakyat turun ke jalanan untuk membantah pengurangan subsidi yang dibuat kerajaan sebelum ini.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, PR akan memimpin satu demonstrasi sekiranya kerajaan enggan berbuat demikian sebelum 31 Disember 2014.

“Di saat harga minyak mentah jatuh, adalah tidak wajar kerajaan mengekalkan harga minyak seperti sekarang,  kerajaan perlu menurunkan harga minyak sekurang-kurangnya 20 sen," katanya di lobi Parlimen, semalam.

Beliau berkata, melalui demonstrasi sahaja dilihat mampu menekan kerajaan untuk akur pada suara rakyat.

“Sudah lebih sebulan kita bangkitkan isu harga minyak ini, kerajaan dilihat tidak berminat untuk turunkan harga. Jadi kali ini kita serius, tiada alasan untuk kerajaan tunggu lagi,” katanya.

Rafizi berkata, kerajaan perlu berlaku adil kepada rakyat jika benar mahu kekayaan hasil minyak negara turut dinikmati oleh rakyat.

“Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan ada menyebut kerajaan akan turunkan harga petrol dan diesel jika harga minyak mentah turun kepada AS$70 hingga AS$75 setong, jika harga minyak turun ke paras itu bermakna kerajaan tidak perlu menanggung langsung subsidi petrol.

“Malah rakyat pula perlu bayar cukai kepada kerajaan sekiranya harga petrol masih kekal pada kadar RM2.30 seliter dan RM2.20 bagi diesel. Keadaan ini menunjukkan kerajaan memang berniat untuk menghapuskan terus subsidi petrol dan diesel," katanya.

Menurutnya, tindakan itu menunjukkan keseluruhan hasil minyak melalui Petronas dan cukai petroleum dibelanjakan sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.

“Menurunkan harga petrol dan diesel sekarang akan menguji kebenaran hujah-hujah ekonomi yang dikeluarkan BN bahawa apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan harga barang akan turun.

“Kerana saya percaya harga barang tidak akan turun  walaupun harga petrol dan diesel diturunkan sekarang, dan keadaan ini jelas hujah BN mengenai GST tidak boleh diterima pakai,” katanya.