KELANA JAYA - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berharap Bank Negara mempertimbang pelanjutan tempoh bayaran balik pinjaman peribadi dari 10 tahun kepada 15 tahun.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata tindakan Bank Negara memendekkan tempoh bayaran balik pinjaman peribadi kepada 10 tahun sebenarnya tidak menyelesaikan keseluruhan masalah. 

"Ini memberi kesan negatif kepada penjawat awam terutama di bawah gred 54 kerana golongan ini yang banyak membuat pinjaman peribadi. 

"Jika dahulu, mereka boleh membuat pinjaman dengan jumlah yang besar tetapi kini semakin sukar. Ini mendorong mereka membuat kerja sampingan dan akan menjejaskan prestasi kerja mereka," katanya dalam sidang media selepas Majlis Kesyukuran Angkasa bersempena ulang tahun ke-43 di sini hari ini. 

Mengikut Laporan Bank Negara, paras hutang sektor isi rumah di negara ini meningkat dengan ketara sejak enam tahun lepas dan hal ini menyebabkan agensi itu mengambil beberapa ketetapan, antaranya memendekkan tempoh pembayaran balik pinjaman dari 20 tahun kepada 10 tahun.

Abdul Fattah berkata ketetapan Bank Negara itu sebenarnya hanya menguntungkan Along kerana mereka tidak terlibat dengan peraturan bank selain sukar dikesan pihak berkuasa. 

Beliau turut menjelaskan bahawa Angkasa kini hanya menerima sebanyak 50,000 Borang Arahan Potongan Gaji (BPA) berbanding 150,000 sebelum ini. 

"Ini menunjukkan kemerosotan kadar peminjam dalam kalangan pelanggan Angkasa dan ia turut menjejaskan perniagaan koperasi," katanya. 

Angkasa kini dalam proses menyediakan 'e-borang' dan 'e-proses' bagi memudahkan ahli koperasi membuat pinjaman dan potongan gaji secara dalam talian. - Bernama