MELAKA - Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini dianugerahkan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged Para oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Terendak di sini. 

Baginda yang merupakan Kolonel Yang Dipertua Rejimen Askar Jurutera Diraja menerima penganugerahan itu daripada Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Upacara penganugerahan itu didahului dengan demonstrasi kepakaran anggota pasukan 10 Briged Para antaranya terjun bebas, pameran statik kenderaan tempur dan peralatan payung terjun, renang tempur dan tempur tanpa senjata melibatkan penyertaan 800 anggota.

Upacara tersebut turut diserikan pertunjukan udara daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggunakan sebuah helikoper EC 725 dan dua buah helikopter 109 Agusta milik Pasukan Udara Tentera Darat.

Penganugerahan beret dan sayap yang menjadi kebanggaan 10 Briged Para itu merupakan penghormatan dan pengiktirafan briged berkenaan kepada individu, pemimpin tertinggi tentera atau kerajaan sama ada di dalam atau luar negara. - Bernama