KUALA LUMPUR - Kerajaan bercadang untuk mewujudkan sekatan perkahwinan bawah umur susulan isu kanak-kanak 11 tahun berkahwin dengan lelaki 41 tahun di Kelantan yang tular baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, langkah itu memerlukan prosedur keizinan perkahwinan bawah umur dikemaskini.

Katanya, ini kerana perkara itu mempunyai kaitan dengan undang-undang syariah di peringkat negeri dan sivil yang membenarkan perkahwinan bawah umur dengan kebenaran.

"Ia merupakan antara perkara teknikal yang perlu kami lihat semula dan tidak boleh terus haramkan sahaja," katanya kepada media di lobi Parlimen di sini hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kementerian siasat kes kanak-kanak 11 tahun berkahwin]

Sebelum ini, tular di media sosial kanak-kanak 11 tahun berkahwin dengan seorang lelaki 41 tahun, yang menjadi perhatian ramai termasuk Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga.

Mujahid berkata, kerajaan juga perlu mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan termasuk hakim, peguam, orang ramai, ulama dan sarjana dalam usaha tersebut.

"Ia akan menjadi kali pertama di negara kita untuk mempunyai undang-undang sedemikian. Jadi berikan kami masa untuk proses perkara ini," katanya.

Beliau berkata, undang-undang berkaitan perkahwinan bawah umur di negara ini adalah jelas, iaitu seseorang yang ingin berkahwin mestilah berusia 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan.

Katanya, isu sekarang adalah mengenai keizinan berkahwin melibatkan mereka yang berkahwin bawah umur seperti termaktub dalam undang-undang di negara ini.

"Perkara itu patut dihentikan dan diharamkan sama sekali. Dengan berbuat demikian maka kita akan berdepan banyak pihak," katanya.

Mengulas tentang Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU355), Mujahid berkata, ia terpulang kepada kepada keutamaan kerajaan baharu.