BIMBANG  terhadap kelakuan masyarakat hari ini yang dikesan mula ketagihan berselfie atau berswafoto, Universiti Malaya (UM) sedang merangka kertas kerja untuk penyelidikan bagi mengenal pasti sejauh mana trend itu menjejaskan kesihatan mental rakyat di negara ini.

Pakar perunding psikiatri di universiti berkenaan Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid  berkata, sehubungan itu, UM memohon kementerian pendidikan memperuntukkan geran penyelidikan (dana khusus) bagi menjalankan kajian itu secara menyeluruh.

“Kita minta menteri pendidikan, Dr Maszlee Malik supaya mempertimbangkan sumbangan geran bagi tujuan penyelidikan ini.

“Geran penyelidikan itu untuk melaksanakan apa jua bentuk penyelidikan yang menumpukan kepada isu ketagihan dan permasalahan dihadapi individu yang obses berswafoto hingga tidak menghiraukan masalah keselamatan.

“Ini kerana ia dibimbangi menjadi satu masalah serius pada masa depan terutama melibatkan penuntut universiti,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Universiti Malaya Specialist Centre (UMSC) berkata, berdasarkan purata kekerapan pesakit  yang datang mendapatkan rawatan akibat obses berselfie menjadi petunjuk bahawa masalah berkenaan semakin kronik dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Sehubungan itu katanya, kerajaan hari ini yang ditadbir Pakatan Harapan diharap  mempertimbangkan sumbangan geran tersebut kerana ia amat diperlukan bagi membolehkan UM sebagai universiti awam berwibawa menjalankan kajian memandangkan universiti tersebut  disenaraikan sebagai 100 universiti terbaik dunia, berdasarkan Quacquarelli Symonds (QS) World University Ranking 2018/2019, lalu.

Beliau yakin,  UM berwibawa membuat penyelidikan permasalahan obses selfie terutama dalam kalangan wanita yang dikesan lebih ramai teruja terhadap aktiviti itu berbanding lelaki di negara ini sekali gus ia dibimbangi kerana melibatkan graduan negara.

“Justeru saya minta supaya permohonan geran ini dipertimbangkan untuk penyelidikan  permasalahan akibat bahana teknologi telefon pintar ke atas kesihatan mental masyarakat,”  katanya.