KOTA BHARU - Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kubang Kerian, Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan (USMKK), mengenal pasti potensi dan berusaha membuat transformasi kepada orang kurang upaya (OKU) menerusi Rumah Ngaji OKU pertama di Malaysia.

Ketua Projek Transformasi OKU PDK Kubang Kerian USMKK, Dr Mohd Zulkifli Abdul Rahim berkata, setakat ini PDK menganjurkan lapan program di bawah Projek Transformasi OKU termasuk membolehkan mereka bekerja dan sertai Rumah Ngaji.

“USM mengadakan program ini bagi mengubah masa depan golongan istimewa ini, malah kita berharap dengan adanya program sebegini, ibu bapa yang ada anak OKU tampil ke PDK ini.

“PDK menyarankan majikan atau syarikat ambil peluang buat kebajikan dengan membantu OKU, malah mereka mendapat pelepasan cukai berganda,” katanya selepas Majlis Graduasi Program Latihan Pekerjaan OKU Intelek (VT) USM dan Majlis Pelancaran Rumah Ngaji PDK Kubang Kerian, USMKK di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Nik Ali Mat Yunus.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Penganjur Majlis Graduasi dan Hari Terbuka PDK, Prof Madya Dr Mohamed Saat Ismail; Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri dan Masyarakat (JIM) USM, Prof Dr Abdul Rahman Mohamed; Pengerusi PDK Kubang Kerian, Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Hanafi Maulud dan Ketua Pegawai Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI), Marhaini Yusof serta Pengurus Cawangan Sinar Harian Kelantan, Surena Mohd Noor.

Sementara itu, Marhaini berkata, program Rumah Ngaji itu yang pertama dan YWUI berusaha mencari formula dengan rujukan al-Quran sebagai jalan penyelesaian bagi membantu OKU.

“Kita akan cuba membawa OKU contohnya dari sudut permainan, kita dedahkan mereka membaca al-Quran dengan cara menyeronokkan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA PILAH - Seorang bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang juga seorang orang kurang upaya (OKU), Khamaruzaman Mohd Yusof berhasrat mencatatkan rekod dunia menerusi misi penerbangan solo mengelilingi dunia tahun depan.
  • NILAI - Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mengalami masalah pendengaran kini boleh menikmati pembelajaran al-Quran dan solat dalam suasana yang lebih menyeronokkan dan santai.