SHAH ALAM - Pensyarah Institut Pendidikan Guru, Kampus Bahasa Melayu, Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman berpendapat kerajaan tidak patut dipersalahkan di atas sifat rasisme yang berlaku dalam negara ini.

Bagaimanapun beliau tidak menolak bahawa campur tangan politik dalam sesuatu isu boleh membawa implikasi buruk.

"Sebenarnya campur tangan politik ada masanya membawa implikasi buruk.‎ Insiden Kampung Medan tercetus kerana sikap tidak menghormati.

"Ketika itu ada keluarga yang menghadapi majlis kematian, ada keluarga yang membuat majlis perkahwinan, ia hanya cetuskan insiden itu," katanya dalam Wacana Sinar Harian Siri ke-38 dengan tajuk ‘Sampai Bila Mahu Rasis?’ di Dewan Sultan Muhammad Ke V, Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, di sini, semalam.

Beliau turut menolak persepsi kerajaan memberikan lebih peluang terhadap sesuatu kumpulan etnik lain mengatasi etnik lain.

"Ia hanya berlaku mengikut situasi tertentu. Dalam kalangan kaum India, ramai yang lebih suka bekerja dalam sektor swasta kerana gaji yang lumayan.

"Kita tidak boleh salahkan kerajaan kerana peluang untuk bekerja dengan kerajaan sudah ditawarkan. Ia bergantung kepada pilihan individu.

Dalam sektor pendidikan, semua orang mendapat peluang sama rata.‎ Tidak timbul soal diskriminasi," katanya lagi.