KUALA TERENGGANU - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad diumum sebagai Pengerusi Gerakan Harapan Baharu Terengganu dalam satu majlis pelancaran gerakan itu di Dataran Shahbandar di sini malam tadi.
   
Ini merungkai teka-teki yang Raja Kamarul Bahrin yang sebelum ini dilihat seolah-olah memilih untuk berdiam diri biarpun Pas Kuala Terengganu mengambil keputusan untuk tidak lagi bekerjasama dan memberikan segala bantuan atau kemudahan dengan beliau.
   
Bagaimanapun, kelibat seorang lagi pemimpin Pas Terengganu iaitu Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi yang juga disebut-sebut bakal bergandingan dengan Raja Kamarul Bahrin tidak kelihatan seperti mengiakan dakwaan yang dibuatnya sebelum ini iaitu tidak pernah terlibat dengan gerakan tersebut.
   
Bercakap kepada pemberita selepas pengumuman tersebut oleh bekas Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, Raja Kamarul Bahrin berkata, beliau memutuskan untuk menerima tawaran menerajui Harapan Baharu di Terengganu kerana yakin dengan masa depan gerakan berkenaan.