SERDANG - Ekonomi negara tidak akan terjejas sekiranya kerajaan memutuskan hubungan diplomatik dengan Korea Utara.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, Korea Utara bukan rakan dagang penting Malaysia berbanding kuasa-kuasa besar lain.

"Korea Utara bukanlah rakan dagang penting atau pun sumber pelaburan utama buat negara. Apa yang harus kita waspada adalah hubungan ekonomi dengan negara-negara yang mempunyai perdagangan dua hala.

"Mereka adalah pasaran penting bagi produk-produk kita," katanya kepada media selepas menghadiri majlis pelancaran program Sarjana Pentadbiran, Marketer (CPM), Asia oleh Putra Business School (PBS), di Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.   

Oleh itu, menurut Rafidah, menjadi tanggungjawab negara untuk memelihara hubungan dua hala dengan negara-negara tersebut kerana impaknya besar kepada landskap ekonomi negara.

"Negara-negara yang menjadi sumber kepada produk-produk berbentuk teknologi tinggi misalnya, itu yang harus kita jaga, kerana mereka bawa kepentingan tinggi untuk memacu perkembangan ekonomi," katanya.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan melihat sama ada wujud keperluan mengkaji hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara.

Hubungan Malaysia Korea Utara menjadi tegang apabila Pyongyang meluahkan rasa tidak yakin ke atas siasatan yang dijalankan pasukan polis Malaysia berhubung kematian warganya, Jong-nam.

Duta Korea Utara, Kang Chol berkata, polis Malaysia mengambil masa yang lama untuk menjalankan siasatan tetapi sehingga kini masih tiada bukti jelas mengenai punca kematian Jong-nam, membuatkan mereka meragui siasatan berkenaan.

Susulan itu, Kementerian Luar mengisytiharkan Kang Chol sebagai persona non grata (individu tidak dikehendaki) dan diarah meninggalkan negara ini.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.