MoU peruntukan pembangkang fokus pembangunan ekonomi demi kebajikan rakyat

FADILLAH
FADILLAH
A
A
A

PUTRAJAYA - Draf Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang yang sedang dirangka, akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan dan memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, draf MoU yang sedang dirangka itu, akan diberikan kepada pembangkang untuk dinilai sama ada terdapat keperluan untuk perbincangan lanjut.

Ditanya tempoh draf MoU itu disiapkan, Fadilah berkata, tidak ada tempoh masa tapi secepat mungkin kita usahakan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka di Kompleks Sri Satria yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ditanya inti pati MoU itu, Fadillah enggan mengulas secara terperinci agar ia tidak mencetus andaian mana-mana pihak.

"Tak bolehlah, nanti benda-benda yang orang kata jadi andaian, benda yang belum dipersetujui. Bila kerangka sudah ada, dimuktamad, kita boleh kongsi,” katanya.

Ditanya adakah isu MoU itu akan dijadikan modal Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Fadillah berkata, pembangkang akan tetap membangkitkan pelbagai isu tanpa mengambil kira usaha kerajaan.

"Yang penting ialah keikhlasan kita untuk mempertimbangkan dan secara prinsip sudah dipersetujui.

Artikel Berkaitan:

"Jadi sekarang ini untuk kita rangkakan MoU supaya akan ada agenda bersama dalam membangunkan negara, memulihkan ekonomi dan penting kesejahteraan rakyat terbela dari segi kestabilan dan keamanan. Itu amat penting,” katanya.

Diminta mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa tidak perlu MoU jika Kerajaan Perpaduan ikhlas memberi peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang, Fadillah enggan memberikan sebarang kenyataan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan apa yang dilaksanakan kerajaan ialah kaedah MoU kerana kerajaan terdahulu juga pernah memeterai perjanjian bagi menyalurkan peruntukan.

"Dahulu pun ada perjanjian, apabila ada perjanjian baru ada peruntukan. Sekarang ini MoU nak dilaksanakan, kalau ikutkan tak perlu pun, kerajaan sudah ada dua pertiga tetapi mengapa perlukan lagi perjanjian,” katanya.

Pada 18 April, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada dasarnya bersetuju untuk mempertimbangkan bagi menyalurkan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!