PRK KKB: Jangan ada unsur rasuah, fahami akta pilihan raya

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki pada sidang media selepas perasmian Pejabat Suruhanjaya SPRM Cawangan Gua Musang pada Khamis. Foto Bernama
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki pada sidang media selepas perasmian Pejabat Suruhanjaya SPRM Cawangan Gua Musang pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Calon yang bertanding dan ejen yang akan terlibat berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, diminta memahami undang-undang rasuah dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata, perkara tersebut bagi memastikan perjalanan PRK itu berlangsung dengan lancar, tanpa ada kes-kes salah guna kuasa dan rasuah.

"Oleh itu, mereka (calon yang akan bertanding) perlu memahami undang-undang dan akta berkenaan, agar proses berkempen dijalankan dengan tertib.

"Selain itu, ia untuk memastikan perjalanan sesuatu calon yang akan bertanding memperoleh kemenangan dengan telus, tanpa dipengaruhi mana-mana unsur rasuah atau salah guna kuasa,” katanya selepas merasmikan pejabat SPRM cawangan Gua Musang yang baharu di Bangunan Persekutuan Gua Musang, di sini pada Khamis.

Berikutan itu, SPRM juga akan membuka bilik gerakan negeri dan juga di bilik gerakan di ibu pejabat SPRM susulan PRK Kuala Kubu Baharu.

"Bilik gerakan berkenaan antaranya akan memantau perjalanan PRK bagi melihat isu rasuah atau salah guna kuasa yang berlaku sepanjang PRK itu berlangsung.

"Selain itu, kami juga telah mengarahkan pegawai SPRM yang terlibat, untuk membuat persiapan PRK berkenaan,” katanya.

Azam berkata, masyarakat juga dialu-alukan untuk membuat sebarang aduan rasuah atau salah guna kuasa, sekiranya berlaku di sepanjang PRK itu kepada bilik gerakan SPRM yang ditubuhkan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, masyarakat boleh hadir terus ke bilik gerakan, menghubungi SPRM atau menghantar e-mel untuk membuat aduan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 4 April, menetapkan hari pengundian PRK DUN Kuala Kubu Baharu, Selangor pada 11 Mei ini.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan, masing-masing ditetapkan pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa). - Bernama