SARAWAK - Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum harus dipertimbangkan sebagai Ketua Hakim Negara.

Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu (UPP) George Lo menyifatkan Malanjun sebagai individu paling layak berdasarkan pengalamannya sebelum ini.

“Malanjum merupakan hakim paling kanan di Mahkamah Persekutuan dan beliau berhak sepenuhnya untuk pelantikan berdasarkan jawatan kanan dan kelayakan.

"Malanjum akan menjadi hakim pertama dari Malaysia Timur yang dilantik ke jawatan tertinggi badan kehakiman dan akan menghantar isyarat kuat bahawa kerajaan persekutuan yang baru serius dengan pelantikan jawatan berdasarkan kekananan dan kelayakan," katanya seperti dipetik Malaysiakini.

Kerusi Ketua Hakim Negara kosong selepas peletakkan jawatan Tun Md Raus Sharif dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

UPP parti serpihan SUPP yang mesra BN semalam mengumumkan keluar daripada gabungan itu.

Lo berkata, jika Malanjum tidak dipilih maka akan timbul persoalan di kalangan rakyat Malaysia di Sabah, Sarawak dan Labuan.

"Sekiranya Malanjum terlepas jawatan itu walaupun kekananan dan kelayakan yang tidak dapat disangkal lagi, maka rakyat Malaysia Timur berhak untuk mempersoalkan kesaksamaan perlantikan kehakiman di bawah pentadbiran baharu.

"Oleh itu, kami meminta Malanjum dilantik menjadi Ketua Hakim Negara yang akan datang," katanya.

Menurut Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Raus dan Zulkefli pada 15 Mei bertemu dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyampaikan hasrat mereka meletakkan jawatan.

Pendaftar berkata, mereka menghantar surat peletakan jawatan mereka kepada Yang Di-Pertuan Agong pada 7 Jun dan pihak istana telah menerimanya dan akan berkuat kuasa pada 31 Julai ini.