LANGKAWI - Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan melancarkan duit syiling kenangan keluaran Bank Negara Malaysia (BNM) sempena ulang tahun ke-100 Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) di sini hari ini.

Pelancaran dilakukan selepas baginda merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PPPM 2015/2016 yang turut dihadiri isteri perdana menteri yang juga Yang Dipertua PPPM, Datin Seri Rosmah Mansor di Langkawi International Convention Centre.

Majlis turut dihadiri Raja Puan Muda Perak yang juga Yang Dipertua PPPM Kedah, Dato Seri Diraja Tunku Soraya Tuanku Abdul Halim Mu'Adzam Shah, Tengku Puan Pahang yang juga Yang Dipertua PPPM Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar serta Ketua Pesuruhjaya PPPM, Normala Baharudin.

Ketika merasmikan mesyuarat tersebut, Tuanku Hajah Haminah selaku Penaung Diraja PPPM bertitah bahawa penerapan ilmu, kemahiran dan nilai murni melalui aktiviti dan program yang dijalankan oleh Pandu Puteri diharap mampu melahirkan golongan wanita, remaja dan dewasa yang berkaliber.

Baginda bertitah melalui penerapan nilai murni dan pematuhan pada undang-undang Pandu Puteri, ia mampu melahirkan puteri bangsa yang mampu menempuh pelbagai rintangan dalam menghadapi persaingan semakin mencabar dalam era globalisasi ini.

"Visi persatuan Pandu Puteri ialah menerajui perkembangan potensi gadis dan wanita untuk membawa perubahan, selaras itu PPPM mempunyai komitmen melahirkan golongan wanita, remaja, dan dewasa yang berkaliber," titah baginda.

Sementara itu Rosmah dalam ucapannya berkata dalam memantapkan lagi kewujudannya, Pandu Puteri menyasarkan keahlian yang kini berjumlah 85,000 orang kepada 100,000 menjelang 2017.

"Untuk itu saya amat mengharapkan yang dipertua persatuan cawangan negeri-negeri bekerja keras di peringkat cawangan masing-masing untuk sama-sama memastikan jumlah ini dicapai," katanya.

Rosmah berkata Pandu Puteri merupakan persatuan terunggul dalam menyediakan platform pendidikan tidak formal kepada para gadis dan remaja wanita dan menerajui perkembangan kepada ahlinya untuk membawa perubahan.

Sehubungan itu katanya penglibatan remaja wanita seharusnya dilebarkan dalam usaha menabur khidmat bakti kepada setiap genap lapisan masyarakat bagi membuktikan badan sukarelawan beruniform terus kekal relevan.

Dalam majlis itu, Timbalan Yang Dipertua PPPM yang juga Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah menerima Anugerah Paduka Srikandi PPPM, manakala Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Kuala Lumpur, Datuk Yeoh Soo Keng menerima Anugerah Srikandi PPPM.

Kedua-dua anugerah disampaikan Tuanku Hajah Haminah.

Seramai 228 perwakilan PPPM seluruh Malaysia menghadiri mesyuarat selama empat hari bermula Khamis lalu.

Bank Negara Malaysia dalam satu kenyataan berkata syiling kenangan tersebut berwarna emas dan perak yang berwarna perak bernilai muka RM10 dan dijual pada harga RM212 sekeping sementara yang berwarna keemasan bernilai RM1 dan dijual pada harga RM10.60 setiap keping.

Ia juga boleh diperoleh bersama dalam satu set yang dijual pada harga RM265. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.