TANJUNG MALIM - Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia diminta mengkaji semula cadangan untuk menaikkan harga tambang bagi sesi persekolahan tahun depan hingga membebankan ibu bapa.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata pihak tersebut perlu mengadakan rundingan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru terlebih dahulu sebelum melaksanakannya.

"Dengan perbincangan yang lebih mendalam (antara kedua-dua pihak), saya pasti mereka akan dapat jalan penyelesaiannya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Meletak Batu Asas Prasekolah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Katoyang di Behrang di sini hari ini.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia Mohd Rofik Mohd Yusof baru-baru ini berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan akan menaikkan harga tambang bagi sesi persekolahan tahun depan berikutan kos operasi dan barang ganti yang meningkat.

Mohd Rofik berkata pihaknya menjangkakan kenaikan itu adalah RM10 bagi kawasan luar bandar manakala RM20 bagi kawasan bandar. - Bernama