KUALA LUMPUR - Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dinobatkan sebagai Tokoh Media pada majlis Malam Wartawan Malaysia 2017 (MWN 2017) anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI)-Petronas di sebuah hotel di sini, malam ini.

Anugerah berprestij itu telah disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

[ARTIKEL BERKAITAN: Najib hadir Malam Wartawan MPI-Petronas]

Buat pertama kali pada MWM 2017, anugerah Tokoh Media akan diberikan kepada seorang individu yang memberi sumbangan kepada organisasi.

Diminta mengulas mengenai pengiktirafan itu, Hussamuddin berkata ia adalah merupakan satu kejayaan Karangkraf dan Sinar Harian.

"Alhamdulillah, saya kira ini adalah kejayaan Karangkraf dan juga Sinar Harian kerana saya rasakan industri media telah menerima pendirian kami sebagai media yang bebas dan sentiasa konsisten.

"Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada penganjur dan semua kakitangan Karangkraf yang menjadi pendokong kejayaan syarikat pada hari ini," katanya kepada Sinar Harian.

Pada masa sama, Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abdul Jalil Ali turut menerima Anugerah Khas Juri yang melayakkannya membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi dan sijil tajaan Petronas.

Manakala, bagi penyertaan Sinar Harian menerusi kategori Desain Halaman Pertama Terbaik yang diwakili oleh Zainudin Haron dan Helmie Aris berjaya meraih saguhati.

Sementara itu, anugerah paling berprestij di dalam dunia kewartawanan, Anugerah Kajai menjadi milik enam wartawan The Star iaitu, Samantha Chow, Clarissa Say, Maryam Zainol, Elroi Yee, Ian Yee dan Lim May Lee.

Kemenangan itu melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM30,000, trofi serta sijil penghargaan.

Institut Akhbar Malaysia (MPI) menerima 291 penyertaan daripada 30 organisasi media bagi merebut Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI Petronas 2016 (HKM 2016).

Karya kewartawanan yang dihasilkan antara Januari sehingga Disember 2016 itu akan berentap sengit untuk merebut hadiah wang tunai RM300,000 tajaan Petronas.

Seramai 37 wartawan daripada media konvensional dan media baharu yang menghasilkan karya-karya kewartawanan bermutu tinggi sepanjang tahun lepas.

MWM 2017 menyaksikan 291 penyertaan diterima bagi 20 kategori dipertandingkan dalam HKM 2016.

Pemenang bagi setiap kategori akan menerima wang tunai RM10,000, sijil dan trofi manakala karya terbaik akan dinobatkan sebagai penerima Hadiah Kajai dengan hadiah wang tunai RM30,000, sijil, trofi dan hadiah iringan lain.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.