SHAH ALAM - Persekutuan Pengakap-Pengakap Malaysia mengingatkan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya tidak mengaitkan pertubuhan itu dengan kegiatan politik masing-masing.

Dalam satu kenyataan, Persekutuan Pengakap-Pengakap Malaysia yang bernaung di bawah World Organization of The Scout Movement (WOSM) turut menafikan pertubuhan itu adalah sebagai sebuah badan pertubuhan yang berasaskan politik.

“WOSM bukan sebuah badan pertubuhan politik dan tidak ada kaitan dengan mana-mana daripadanya.

“Adalah diingatkan kepada mana-mana NGO supaya tidak mengaitkan atau melibatkan pertubuhan ini dan juga WOSM dalam kegiatan mana-mana politik,” katanya dalam satu kenyataan.

Persekutuan Pengakap-Pengakap Malaysia telah diletakkan di bawah Akta Parlimen, Akta 784 (semakan 2016).

Perbadanan ini bertujuan untuk membangunkan golongan belia melalui kegiatan pengakap seperti memberi perkhidmatan yang berguna kepada masyarakat dan berpegang teguh kepada ikrar dan Undang-Undang Pengakap.

Pada masa sama, kenyataan itu turut menyebut bahawa pertubuhan terbabit berfungsi sebagai sebuah pertubuhan sukarela untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat dan membangun jati diri golongan belia supaya berguna kepada bangsa dan negaranya.

“Persekutuan Pengakap-Pengakap Malaysia berharap dengan adanya kenyataan ini akan menjernihkan suasana supaya tidak akan timbul lagi sebarang tohmahan kepada Persekutuan Pengakap-Pengakap Malaysia dan WOSM,” katanya.