SHAH ALAM - Orang Melayu tidak berasa malu apabila bangsa lain melabel mereka tidak beramanah malah tidak mempedulikan penghinaan sedemikian.

Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu malu kalau dilihat bogel tetapi tidak pula berasa begitu apabila gagal melaksanakan tugas.

Menurutnya, apabila rungutan mengatakan kualiti kerja mereka tidak sebaik bangsa lain, ada orang Melayu tanpa segan silu berkata ‘itu bangsa lain’.

“Kita sudah akui kita memang begitu maka merosotlah kita, gagallah kita. Tidak tahu malu juga menyumbang kepada prestasi kita.

“Oleh itu hasil kerja kita tidak seperti diharapkan. Kualiti barangan tidak baik pun tidak apa. Dengan sikap ini kita tidak akan berjaya.

“Kita akan berjaya jika kita miliki dan amal nilai-nilai yang baik,” katanya ketika berucap dalam majlis sambutan Ulang Tahun Kedua Bersatu di Stadium Malawati, di sini, malam tadi.

Tambah beliau, orang Melayu perlu rajin, beramanah serta berperasaan malu dan dengan tiga perkara tersebut, mereka boleh berjaya dan memenangi persaingan dengan bangsa lain.

Sementara itu, Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan beliau tidak akan melepaskan perjuangan bangsa Melayu kepada kaum lain.

“Saya telah sebut bahawa kita tubuh parti Melayu untuk mengganti Umno yang sudah diselewengkan. Kita akan cipta dasar, peluang dan mengadakan kemudahan bagi orang Melayu meningkatkan prestasi mereka.

“Tetapi kali ini kita akan tentukan segala yang diberi kepada orang Melayu tidak akan disalah gunakan. Jualan pemberian tidak akan dibenar.

“Kita akan semai ke dalam hati sanubari mereka nilai-nilai yang mulia. Kita tidak akan teragak-agak untuk bertindak terhadap penyelewengan,” ujarnya.

Sebelum mengakhiri ucapan, Mahatir memberi jaminan Bersatu tidak akan menjadi seperti Umno semasa dipimpin Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, mereka akan lebih mengutamakan kemajuan negara dan pengagihan nikmat secara saksama, bukannya memikirkan apa yang diri sendiri dapat.

“Tidak akan ada rampasan hak atau harta sesiapa tetapi kita ambil kira soal persamaan dan keadilan dalam pembahagian ekonomi semua kaum.

“Saya seru kepada orang Melayu untuk sertai perjuangan kita. Hanya kita sahaja boleh memperbaiki kedudukan kita,” katanya.