PEMILIHANNYA sebagai pemain yang bakal menyarung jersi Ryukyu FC dalam tempoh terdekat tidak dijangka.

Pemain bek kiri Harimau Muda A,  Nazirul Naim Che Hashim nyata masih terkejut dengan pengumuman yang dibuat jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee, kelmarin.

Bagaimanapun, Nazirul Naim, 20, sudah bersedia menggalas tanggungjawab yang bakal diberikan dan akan berusaha membantu kelab menghasilkan keputusan terbaik di Liga Jepun nanti.

“Saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk meraih tempat di sana dan akan menggunakan sebaik mungkin segala ilmu yang diperoleh,” katanya.

Mengulas mengenai insiden yang berlaku ke atas dua pemain kebangsaan yang menamatkan kontrak lebih awal sebelum ini, Nazirul berjanji tidak mahu perkara itu berlaku ke atasnya mahupun rakan sepasukan Wan Zack Haikal Wan Noor.

“Saya fikir positif. Kalau boleh tidak mahulah perkara itu berlaku kepada saya. Memandangkan saya di sana nanti bersama Wan Zack, saya rasa tiada masalah untuk menyesuaikan diri.

“Dan saya tekad akan menamatkan kontrak dua tahun yang ditawarkan. Apa pun yang berlaku di kemudian hari saya akan merujuk dulu dengan jurulatih Kim Swee sebelum buat sebarang keputusan (untuk tamatkan kontrak),” katanya.

Sementara itu, pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih lagi membincangkan kontrak kedua pemain sebelum mereka sah berhijrah ke Liga Jepun.

Nazirul dijangka ke Jepun terlebih dahulu sementara Wan Zack mempunyai komitmen dengan pasukan Harimau Malaya menjelang perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen, 22 Mac ini.