•  #KL112: Tahniah semua! Stadium Merdeka yang bersejarah menjadi tumpuan peserta Himpunan Kebangkitan Rakyat yang berlangsung tadi. - Foto ihsan Mohd Afif Azman
1 /

SHAH ALAM - Himpunan Kebangkitan Rakyat (#KL112) yang berlangsung di Stadium Merdeka kelmarin memberi gambaran keberkesanan undang-undang baru yang digubal dan dikuatkuasakan tahun lalu.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyifatkan Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah salah satu faktor #KL112 berjalan lancar.

Beliau berkata, undang-undang baru memberi syarat-syarat tertentu untuk dipatuhi dan pihak polis hanya menjalankan tugas mereka sebagai pemantau keselamatan dan lalu lintas.

"Jika sebelum ini sebarang perhimpunan yang ingin diadakan perlu mendapatkan permit polis. Kini, dalam Akta Perhimpunan Awam 2012, permit polis tidak diperlukan lagi.

"Walaupun begitu, syarat-syarat lain yang ditetapkan mesti dipatuhi tidak kira oleh pihak penganjur mahupun peserta," kata beliau kepada Sinar Harian.

Musa berkata, polis tidak akan mengambil tindakan sesuka hati sekiranya keadaan di tempat kejadian terkawal.

"Polis hanya menjalankan tugas mengawal keselamatan orang awam dan memastikan lalu linta berjalan lancar. Sekiranya tidak wujud sebarang provokasi daripada mana-mana pihak, polis tidak akan melakukan sebarang tindakan," katanya.

Sebelum ini, Musa mengingatkan pihak penganjur supaya tidak menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis tugas untuk mengawal keadaan ketika perhimpunan.

Katanya, hanya dengan mengikut syarat-syarat dan undang-undang di mana kedua-dua pihak, polis dan peserta bersikap baik, maka sebuah perhimpunan yang aman akan menjadi realiti.

Ini kali kedua perhimpunan parti politik yang diadakan di dalam stadium berjalan dengan lancar. Umno mengadakan perhimpunan ulang tahun penubuhan di Stadium Nasional Bukit Jalil Mei tahun lalu.