PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengambil langkah segera susulan persetujuan di antara pemimpin Malaysia dan Indonesia untuk membebaskan nelayan yang ditahan di kedua-dua negara berkenaan.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata keputusan yang dicapai di antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia Joko Widodo pada Majlis Perundingan Tahunan ke-12 Malaysia-Indonesia di Kuching, Sarawak hari ini merupakan satu berita baik buat nelayan yang ditahan serta keluarga yang terlibat.

Perdana Menteri berkata memandangkan kebanyakan nelayan yang ditahan adalah daripada golongan miskin sudah pastinya adalah tidak adil untuk menutup terus mata pencarian mereka.

Melalui rundingan tersebut, kedua-dua pihak bersetuju supaya nelayan-nelayan terbabit dibebaskan segera agar mereka dapat meneruskan penghidupan di tanah air masing-masing.

“Maka seharusnya hasrat kedua-dua pemimpin ini wajar direalisasikan,” katanya kepada pemberita selepas berucap pada Majlis Makan Malam Persidangan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia Rantau Asia, Timur dan Ocenia Kali Ke-30 di sini malam ini.

“Kementerian akan segera mengenal pasti nelayan yang terlibat dan akan bekerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan soal tersebut kerana ia berkaitan soal keselamatan dan undang-undang di kedua-dua negara.

“Kita anggarkan seramai 16 nelayan Malaysia telah ditahan di Indonesia manakala kira-kira 100 nelayan Indonesia ditahan di negara ini buat masa ini, “ katanya. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Enam nelayan warganegara Malaysia yang ditahan di Indonesia kerana menceroboh perairan negara itu, dijangka dibebaskan dalam tempoh terdekat, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
  • SHAH ALAM - Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) menafikan dakwaan bahawa purata gaji nelayan masih RM500 sebulan.
  • KUALA LUMPUR - Kesepakatan Malaysia dan Indonesia untuk membebaskan nelayan kedua-dua negara yang ditahan atas kesalahan menceroboh perairan ketika menangkap ikan menunjukkan persahabatan erat antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia Joko Widodo.
  • KUALA LUMPUR - Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) menyambut baik keputusan Kerajaan Indonesia membebaskan nelayan Malaysia yang berada dalam tahanan di republik itu supaya mereka boleh kembali mencari sumber pendapatan.