SHAH ALAM - Pas kesal tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari bekerja sebagai tarikh pembuangan undi.

Timbalan presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan tersebut bukan sahaja menyusahkan rakyat, malah 'merompak' hak rakyat terutamanya yang berada di luar kawasan untuk mengundi.

“Ini petanda BN telah menghidu tsunami rakyat menolak BN bertiup kuat sehingga susah dibendung lagi.

"Walaupun kerajaan boleh isytihar cuti umum pada hari berkenaan, namun ia bukan tindakan yang sepatutnya diambil kerana ia ada di pertengahan hari minggu. Bebanan kepada semua rakyat akan terus ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

SPR sebentar tadi mengumumkan tarikh penamaan calon bagi PRU14 pada 28 April, manakala hari pengundian ditetapkan pada 9 Mei.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas akan mengadakan mesyuarat segera esok bagi mengambil tindakan selanjutnya berhubung perkara tersebut.

“Apakah kakitangan swasta akan sanggup mengambil cuti sehari sahaja untuk kembali mengundi ataupun mereka sanggup korbankan tiga hari untuk mengambil cuti agar bersambung dengan hari minggu untuk memudahkan perjalanan? Apakah majikan swasta akan mengizinkannya, terutamanya bagi semua perantau yang bekerja di Selangor dan Kuala Lumpur dan luar negara?

"Apa gunanya SPR membuat gesaan agar rakyat mendaftar dan menyasarkan 85 peratus keluar mengundi, tapi melaksanakan hari pengundian di hari bekerja yang menyebabkan ramai rakyat tidak jadi mengundi,” katanya.