MARANG  - Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) mengecam sekeras-kerasnya pengisytiharan Baitulmaqdis sebagai ibu negara haram Zionis-Israel oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Pengerusinya, Zaidi Muda berkata, pengumuman itu menyaksikan kepimpinan Trump tidak sensitif terhadap umat islam di seluruh dunia serta dilihat mempersendakan perjuangan umat islam di Palestin.

Menurutnya, MBNT juga percaya tindakan akan membawa kesan tidak baik dan buruk terhadap kestabilan dan keselamatan di Asia Barat selain ia sengaja ingin membangkitkan kemarahan umat islam keseluhurannya.

"Tindakan juga memberi ruang kepada Israel untuk bertindak lebih ganas dan kejam terhadap rakyat Palestin kerana mendapat sokongan dari Amerika Syarikat.

"Maka ia perlu ditentang dengan apa cara sekalipun. Rakyat Palestin pula sudah lama menderita akibat kekejaman serta penjajahan Israel ke atas bumi Palestin sejak tahun 1948," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Zaidi menyifatkan kota suci Baitulmaqdis bukanlah sekadar milik rakyat Palestin mahupun masyarakat Arab semata-mata, bahkan ianya adalah  milik umat Islam sejagat.

Justeru itu, keamanan bumi Baitulmaqdis dan Palestin adalah menjadi tanggungjawab semua umat Islam di seluruh dunia untuk mempertahankannya.

"MBNT seterusnya ingin mengajak warga Terengganu khasnya, Malaysia amnya sama sama menentang serta mempertahankan bumi Palestin dan Al Quds.

"Tidak ada alasan untuk kita berdiam diri, terhadap tindakan rejim Zionis cuba menguasai, mengotor dan membahagikan Masjid Al-Aqsa. Marilah sama sama kita menentang tindakan dayus Amerika Syarikat ini," katanya.