INDIVIDU obses berswafoto tanpa mengira masa dan tempat bahkan keselamatan hingga sanggup menggadai nyawa dikesan adalah mereka yang tergolong  kurang kasih sayang atau amnya tidak bahagia sejak zaman kanak-kanak.

Pakar motivasi dan kaunselor Hushim Salleh berkata, situasi berkenaan dikesan  berdasarkan  kekerapan kedatangan mereka yang mengadu obses berswafoto ke pusat rawatan kaunseling beliau yang terletak di Taman Sri Andalas, Klang.

“Berdasarkan kes kaunseling ke atas setiap pesakit (obses swafoto), didapati perlakuan mereka ada kaitan dengan cara didikan keluarga sejak  zaman  kanak-kanak.

“Golongan ini dikesan adalah mereka yang terpencil atau tidak mendapat kasih sayang penuh daripada ibu bapa serta ahli keluarga. Misalnya kehidupan dalam situasi keluarga berpecah belah.

“Jadi mereka terdorong mencari kepuasan hidup dengan mengambil gambar sendiri atau dalam istilahnya berswafoto. Mereka ini sebenarnya ‘lonely’ dan terdorong mencari hiburan sendiri,” ujar Hushim.

Hushim, pemilik Syarikat Hushim Motivational & Counseling Consultancy, berkata berdasarkan kes kaunseling ke atas pesakit, mereka datang berjumpa dengannya bagi mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar untuk merawat perlakuan obses mereka yang dikesan memudaratkan psikologi.

Jelasnya,  dari sudut negatif individu obses berswafoto adalah mereka yang ‘excited’ atau cukup suka menonjolkan diri kepada masyarakat namun pada masa sama mereka adalah golongan individu mempunyai masalah psikologi dan berbeza personaliti (split personality).

“Hakikatnya dari segi psikologi individu obses berswafoto adalah golongan individu hidup kesunyian, merasa rendah diri dan takut untuk berdepan  orang lain.

“Mereka  nak perhatian dengan cara swafoto untuk menonjolkan diri kepada orang lain kerana mereka anggap ia salah satu cara mendapat kepuasan hidup. Bahkan ada yang sanggup berswafoto di tempat berbahaya semata-mata untuk mendapatkan komen daripada orang lain  selepas gambar swafoto mereka dimuat naik ke media sosial.

“Ada pesakit mengaku tidak kisah gambar swafoto mereka mendapat kecaman serta kutukan asalkan mereka  mencapai kepuasan dan mengubat hati yang duka ,” kata Hushim.

Selaku pakar psikologi Hushim berpandangan, kegilaan atau ketagihan bahana aplikasi telefon pintar ini makin menakutkan dalam kalangan masyarakat hari ini berdasarkan purata kunjungan pesakit yang mendapatkan rawatan dengan beliau.

“Secara purata, antara dua dan tiga pesakit datang ke klinik saya untuk mendapatkan khidmat nasihat berhubung permasalahan ini.

“Mereka yang mengalami masalah ini biasanya  diberi khidmat kaunseling serta dibantu untuk membina keyakinan diri, sistem kepercayaan dalam diri pesakit serta memulihkan emosi rasional seseorang pesakit itu,” akhiri beliau.