SHAH ALAM - Larangan terhadap wanita Muslimah memakai tudung sekalipun hanya waktu bertugas adalah tindakan yang mencabar sensitiviti umat Islam.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, dalam soal menutup aurat wanita Muslimah, selayaknya galakan diberi kepada golongan ini agar mereka menutup aurat.

"Saya akan mengadakan pertemuan dengan pihak Persatuan Hotel Malaysia dan pihak berkenaan bagi menjelaskan perkara ini di samping mengembalikan hak beramal dengan ajaran Islam kepada wanita Muslimah dalam pelbagai sektor di negara ini," katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mempertahankan tindakan operator hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontline). Isu ini tercetus apabila Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mendedahkan kakitangan hotel mengadu pekerja wanita Islam diarahkan menanggalkan tudung mereka.

"Kenapa isu seperti ini berlaku dalam Malaysia meskipun negara mengiktiraf Islam sebagai agama persekutuan? Umat Islam tidak bebas mengamalkan ajaran Islam di dalam negara sendiri semata-mata alasan polisi antarabangsa sedangkan hotel-hotel  tersebut beroperasi dalam negara ini," katanya.

Lebih penting katanya, tudung bukan menjadi penghalang untuk hasilkan mutu kerja, tetapi ia adalah perintah agama Islam yang wajib ditaati.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Muslimat Pas mengucapkan syabas kepada tiga persatuan hotel di negara ini yang menandatangani akur janji tiada lagi polisi larangan bertudung pada 8 Januari lalu.
  • PUTRAJAYA - Tiga persatuan hotel semalam menandatangani aku janji bersama Kementerian Sumber Manusia untuk tidak menetapkan sebarang polisi melarang pekerja wanita hotel memakai tudung.
  • SHAH ALAM - Pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara perlu menggunakan kuasa yang telah diperuntukkan oleh undang-undang bagi memastikan kedudukan Islam dan hak umat Islam terus terpelihara.
  • MARAN - Kementerian Sumber Manusia masih meneliti untuk memuktamadkan keputusan yang perlu diambil dalam menyelesaikan isu larangan bertudung melibatkan pekerja wanita Islam di hotel.
  • KUALA LUMPUR - Larangan bertudung terhadap pekerja wanita di bahagian kaunter hotel tidak boleh diterima atau dirunding kerana ia satu penghinaan yang melanggar tiga perkara dalam Perlembagaan Persekutuan, tegas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.