SHAH ALAM - Malaysia sepatutnya telah melaksanakan undang-undang larangan meminum minuman keras di tempat awam terlebih dahulu sebelum Singapura.

Demikian kata Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria ketika ditanya berhubung desakan agar kerajaan menyegerakan pelaksanaan undang-undang melarang pengambilan minuman keras di tempat awam seperti dilakukan Singapura.

Katanya, undang-undang tersebut perlu disegerakan di Malaysia.

"Jika Singapura sebuah negara bukan Islam boleh membuat undang-undang seperti itu, kenapa negara kita tidak.

"Saya setuju undang-undang itu dilaksanakan di negara kita. Malaysia boleh buat undang-undang dan tidak ada masalah jika ia dilaksanakan," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, pada masa ini orang Islam yang meminum minuman keras boleh didakwa tetapi tiada undang-undang bagi menghalang orang bukan Islam mengambil minuman keras di tempat awam.

Oleh itu, katanya, pelaksanaan undang-undang itu dapat menyekat minuman keras daripada berleluasa di negara ini.

Harussani juga berkata, pelaksanaan undang-undang seperti itu akan menghalang orang bukan Islam mengambil minuman keras di khalayak ramai dan mereka akan hanya dibenarkan minum arak di tempat tertentu.

Sementara itu, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut bersetuju agar kerajaan mempercepatkan pelaksanaan undang-undang tersebut di negara ini.

"Saya rasa kerajaan perlu memperketat undang-undang larangan minuman keras dan perlu mengehadkan kawasan atau tempat tertentu bagi orang bukan Islam untuk meminum minuman berkenaan.

"Sekarang ini, minuman keras berleluasa di negara kita.

"Kita tidak cakap untuk hapuskan secara langsung, tetapi dengan keadaan sekarang ini minuman keras boleh didapati dan diminum di mana-mana," katanya.