KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara Datuk Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini merakamkan takziah kepada keluarga pesara polis Datuk Sia Boon Chee yang meninggal dunia, semalam.

“Pemergian mendiang merupakan satu kehilangan yang amat besar kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mendiang Boon Chee meninggal dunia di Unit Rawatan Intensif Kardiotorasik Surgeri (CICU), Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) akibat strok pada kira-kira 1.50 pagi.

Boon Chee memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan polis pada 1 Oktober 1973, sebelum bersara atas pilihan sendiri pada 13 Mac 1994.

Pangkat  terakhir mendiang sebelum meninggalkan pasukan itu ialah Timbalan Penguasa di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman.

Atas jasa dan pengorbanannya  mempertahankan keselamatan dan menjaga keamanan negara daripada ancaman pengganas komunis, mendiang turut dianugerahkan Pingat Bintang Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) oleh Yang di-Pertuan Agong ke-VII.

Jenazah mendiang kini berada di Kajang, Selangor dan akan dibakar di Pusat Xiao En, Jalan Kuari, Cheras pada Khamis ini.  -Bernama