KUCHING - Kerja-kerja pembinaan Hospital Petra Jaya di sini lewat 20 peratus daripada jadual tetapi kontraktornya telah memberi jaminan ia akan siap menjelang akhir tahun ini, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

"Kami telah menerima komitmen daripada kontraktor bahawa mereka akan menyiapkan projek itu dan meminta lanjutan masa enam bulan untuk berbuat demikian," kata Fadillah.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan membantu kontraktor menangani isu berkaitan kekurangan tenaga kerja mahir.

Kontraktor projek menghadapi beberapa cabaran termasuk tidak mampu untuk mendapatkan tenaga kerja mahir dan dalam hal ini, kerajaan negeri telah memberi kelulusan kepada kontraktor untuk mengambil pekerja asing yang mahir.

"Kontraktor juga telah melantik sub kontraktor baharu dan jadi sekarang, kementerian dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang mencari jalan untuk memastikan projek itu siap," kata beliau kepada pemberita di sini selepas mempengerusikan mesyuarat dengan beberapa agensi untuk membincangkan projek-projek yang dicadangkan di kawasan Petra Jaya.

Fadillah berkata, kelewatan itu tidak menyebabkan kerajaan menanggung apa-apa kos tambahan dan menambah JKR sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan (MOF) mengenai tindakan terbaik yang perlu diambil bagi memastikan projek tersebut siap.

Beliau berkata, projek berkenaan telah 50 peratus siap dan kontraktor meminta lanjutan masa enam bulan sehingga akhir Disember untuk menyiapkannya.

"Disebabkan banyak pakej,  kontraktor perlu melantik beberapa sub kontraktor dan pembekal termasuk pembekalan peralatan perubatan," katanya.

Mengenai cadangan pembinaan semula Jambatan Gantung Satok yang bersejarah,  Fadillah berkata ia adalah projek kerajaan negeri dan beliau menyokong sepenuhnya.

"Sebagai anggota parlimen kawasan Petra Jaya, saya menyokong penuh projek itu kerana ia mempunyai nilai sejarah dan adalah unik untuk menghubungkan Petra Jaya dengan Kuching," kata beliau.

Fadillah juga berkata, ada cadangan untuk membangunkan sebuah pusat rekreasi berharga RM5 juta yang lengkap dengan dewan serba guna di Taman Sukma di Petra Jaya, masjid baharu berharga RM 16 juta di  Taman Sukma dan cadangan membina masjid berharga RM10 juta di Samariang Batu, semuanya di Petra Jaya. - Bernama

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUCHING - Malaysia, khususnya Sarawak boleh berjaya dalam ekonomi digital kerana rakyatnya celek IT, kata Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof.
  • KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya sedang mengkaji cadangan untuk memberi insentif kepada golongan profesion teknikal bagi mengiktiraf sumbangan mereka terhadap kemajuan infrastruktur negara.
  • LABIS - Daerah Segamat melakar sejarah tersendiri apabila terpilih sebagai projek perintis menggunakan Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan (CMA) bagi projek membina semula Jalan Persekutuan dari Kampung Desa Temu Jodoh ke Kampung Kwong Sai, di sini.
  • KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya akan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi kerja-kerja turapan jalan raya yang rosak, kata menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.