KUALA LUMPUR – Tan Sri Rafidah Aziz berkata keupayaan untuk menjangka trend masa depan penting bagi penggalakan perdagangan dan agensi seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) perlu sentiasa mengambil langkah awalan dalam membuat dasar untuk kekal berada di hadapan dengan fungsi-fungsi yang efektif.  

Dengan mengambil langkah awalan, katanya, bermakna sentiasa berfikir kehadapan dan mendahului persaingan agar fungsi-fungsi Matrade boleh menjadi relevan, pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja dan dalam apa juga keadaan.

“JIka anda tidak boleh berfikir lebih kehadapan, anda akan ketinggalan,” kata bekas menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu kepada Bernama dalam satu temu bual khas bersempena dengan penerbitan buku meraikan ulang tahun ke-25 Matrade.

Rafidah berkata satu-satunya cara bagi pegawai Matrade dapat memahami perubahan yang berlaku sekitar mereka, sama ada di peringkat domestik, serantau atau global, adalah menjangkakan perubahan baharu ekoran daripada perkembangan baharu yang berlaku sepanjang masa.  

Menegaskan keperluan untuk memiliki perancangan strategik pada setiap masa, beliau berkata kadang-kadang pembangunan atau perubahan mungkin hanya satu pergerakan awal tetapi ia boleh mencetuskan perubahan yang besar kemudiannya.

Justeru itu, perlu sentiasa peka dengan perkembangan terkini agar dapat menjangka kemungkinan perubahan yang mungkin timbul, katanya.  

Rafidah juga menyentuh mengenai kepentingan bagi para pegawai Matrade untuk memahami kesan meluas daripada usaha promosi mereka.  

Bagi mereka yang berada dalam bahagian penggalakan perdagangan atau pelaburan, beliau berkata penting bagi mereka untuk melihat bukan hanya sekadar kepada pekerjaan atau gaji kerana “ganjaran tidak datang kepada kita secara terus tetapi ganjaran pergi kepada rakyat dan negara.”

Dalam menegaskan perkara itu, Rafidah merujuk kepada dirinya sendiri dengan mengatakan beliau masih berkhidmat dengan negara dengan cara yang berbeza walaupun beliau telah bersara daripada kerajaan 10 tahun lepas.

Beliau mendedahkan masih ada orang yang datang mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau semasa menerajui Miti.

“Tetapi saya sering memberi tahu mereka bukan saya seorang sahaja yang bekerja tetapi para pegawai saya juga,” katanya sambil menambah sebagai sebuah pasukan, “setiap orang merupakan sebahagian daripada sistem sokongan bagi beribu-ribu orang di luar sana.” –Bernama