KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak bercadang mewujudkan semula beberapa pasukan siasatan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dibubarkan sebelum ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, pembubaran pasukan khas seperti Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting) bukan untuk memansuhkan fungsinya tetapi sebaliknya fokus dapat diberikan kepada pengukuhan dan pemerkasaan skuad PDRM sedia ada.

[ARTIKEL BERKAITAN: Musa Hassan setuju Sting, Stagg, Stafoc dibubar]

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2019 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini bagi menjawab celahan Ahmad Marzuk Shaary (Pas-Pengkalan Chepa) yang ingin tahu pendirian kerajaan berhubung perkara itu.

Selain Sting, dua pasukan khas lain iaitu Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gengsterisme (Stagg) dan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) diumum dimansuhkan Jun lepas sebagai sebahagian langkah penstrukturan semula PDRM.

Dalam pada itu, Mohd Azis turut menyatakan mengenai komitmen kerajaan dalam memastikan negara kedaulatan negara tidak terjejas.

"Kementerian Dalam Negeri sebagai kementerian yang bertanggungjawab menjaga dan menyelia keselamatan negara akan memastikan tidak setiap inci pun tanah dapat dicerobohi dan kita akan ambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang mencerobohi ruang udara, darat dan perairan negara kita," katanya.

Sebagai respons kepada komitmennya itu, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) secara berseloroh mencelah meminta Mohd Azis mengangkat sumpah terutama dalam mempertahankan kawasan Beting Patinggi Ali, Sarawak, yang berada di Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia, namun sering dicerobohi kapal pengawal pantai China dan nelayan negara asing.

Bagaimanapun, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming menegur tindakan Shahidan, dengan menyatakan Dewan Rakyat bukanlah tokong ataupun masjid untuk seseorang bersumpah, yang disambut hilai tawa Ahli Parlimen lain. - Bernama